Memahami Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR)

INISIATIF PENDAPATAN RAKYAT (IPR)
Belanjawan 2023 telah mengumumkan bahawa sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan kepada Kementerian Ekonomi untuk melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Hari ini saya dan rakan-rakan di Kementerian Ekonomi bersama-sama masyarakat yang hadir melancarkan IPR di stesen LRT Cempaka. Matlamat IPR adalah berkonsepkan strategi serampang dua mata dengan menambah pendapatan keluarga miskin tegar dan B40 menerusi kegiatan-kegiatan ekonomi yang telah dikenalpasti oleh Kementerian Ekonomi.
Sebagai permulaan, IPR akan dijayakan menerusi Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) yang akan melibatkan rakyat dalam aktiviti pertanian, Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) yang memberikan peluang rakyat menjana pendapatan tambahan menerusi penjualan makanan siap. Akhir sekali, adalah Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN) yang memberikan platform kepada rakyat yang berkemahiran dalam penyelenggaraan dan perkhidmatan untuk terlibat terus dalam aktiviti operator perkhidmatan.
Bagi menjayakan INTAN, IPR akan bermula dengan pembukaan 800 ekar tanah Kerajaan Persekutuan bagi memberi peluang kepada rakyat untuk terlibat dengan kegiatan pertanian. Begitu juga untuk INSAN, IPR menyasarkan menjual makanan siap seperti sarapan dan makanan tengahari pada harga serendah RM2 di samping membuka peluang kepada rakyat menjual makanan siap untuk menambah pendapatan.
IPR ini adalah tanggungjawab bersama melibatkan golongan peniaga, professional, sukarelawan, sektor awam dan swasta. Saya menyeru seberapa ramai rakyat untuk turut serta dalam Inisiatif Pendapatan Rakyat.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang IPR dan cara-cara memohon, anda boleh melayari laman web IPR https://ipr.epu.gov.my/about
#IPR
