Cabaran Merealisasikan Pemerkasaan TVET Negara

PENDAPAT, 26 Feb – Pembentangan Belanjawan 2023 menarik perhatian saya kerana buat pertama kali, saya melihat satu usaha kerajaan yang amat berdedikasi untuk memperkasakan TVET (Technical and Vocational Education and Training) demi menampung keperluan indistri utama di Malaysia.

Penekanan TVET dalam pembentangan Belanjawan 2023 membuktikan kerajaan kini berada pada landasan tepat memperkasa sektor penting buat negara dalam jangka masa sederhana dan panjang bagi memastikan negara terus berdaya saing dengan negara sedang meningkat ekonomi seperti Vietnam, Filipina dan Indonesia.

Kerajaan Malaysia Madani mengambil pendekatan yang luar biasa kali ini dalam TVET, dengan membenarkan lebih daripada 50 konglemerat pemain industri utama untuk mengambil alih sebahagian operasi institusi TVET, melalui kolaborasi dengan institusi TVET seperti, kolej komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) untuk menyediakan program khusus bagi memenuhi keperluan industri.

Misalnya, DRB-HICOM yang menerajui industri pembuatan otomotif akan memastikan pelatih TVET yang berkemahiran dapat dihasilkan dari insitusi-institusi latihan sedia ada. Begitu juga dengan Petronas, MRCB dan Kumpulan Sunway, masing-masing menerajui industri minyak dan gas, pembinaan dan perhotelan. Pada masa sama, Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) turut diberi suntikan peruntukan besar untuk manfaatkan lebih 8,000 pelatih.


Inspirasi ini datang dari model rintis Pulau Pinang, yang semenjak 2008 telah mengutamakan TVET dalam kerjasama dengan pihak swasta.

Latar belakang TVET di Malaysia

Pembangunan ekonomi sedia yang pesat berkembang pada tahun 80-an telah mendorong kerajaan untuk menubuhkan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) di bawah Kementerian Sumber Manusia khusus untuk menyelaras sistem latihan kemahiran vokasional. MLVK dijenama semula sebagai Jabatan Pembangunan Kemahiran pada tahun 2006, dengan hala tuju lebih spesifik untuk menaikkan piawaian kemahiran SPSK (Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan).

Tahun 90-an dan 2000-an melihat perkembangan institusi-institusi latihan kerajaan yang menawarkan pelbagai kursus vokasional seperti IKBN, Kolej Komuniti, Politeknik, dan ILP. Institusi-institusi ini menawarkan kursus-kursus yang meliputi bidang seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, perakaunan, perniagaan dan perhotelan.

Cabaran TVET Malaysia

Pendidikan teknikal dan latihan vokasional, (TVET) merupakan alternatif kepada pendidikan akademik yang memberikan penekanan kepada kemahiran teknikal dan praktikal bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.


Namun, terdapat cabaran yang dihadapi oleh TVET di Malaysia terutamanya dari segi kualiti dan pengiktirafan. Persepsi ramai yang masih mengutamakan pendidikan akademik yang lebih tinggi daripada pendidikan teknikal menjadi antara faktor cabaran bidang ini. Masalah pengiktirafan sijil kemahiran juga menjadi cabaran utama di mana masih terdapat stigma yang menganggap bahawa sijil kemahiran hanya untuk golongan yang tidak berjaya dalam bidang akademik.

Selain itu, terdapat kekurangan pendedahan dan kerjasama pelopor industri dengan institusi latihan yang masih menjalani kursus bidang yang kurang relevan dengan keperluan industri. Pendekatan antara kerajaan dengan syarikat swasta yang lemah juga menyebabkan pengambilan pekerja dari luar negara untuk mengisi kekosongan kerja separa-mahir meskipun terdapat graduan tempatan.

Satu cabaran yang meskipun terdapat banyak institusi yang berteraskan TVET terletak di bawah kelolaan kementerian yang berlainan. Misalnya, IKBN merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan, Institut Kemahiran MARA (IKM) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Malaysia dan Institusi Latihan Perindustrian di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Ketidak seragaman dalam sukatan pelajaran dan polisi institusi, keadaan pembelajaran yang tidak berdasarkan industri terkini serta tiada bimbingan kerjaya menyukarkan usaha untuk menghasilkan graduan TVET berkemahiran tinggi.

Data menunjukkan, meskipun 80% pelatih TVET mendapat kerja, namun kebanyakan daripada mereka masih lagi menerima gaji bulanan tidak melebih RM2,000 sebulan. Oleh kerana kerja yang tidak mendapat pengiktirafan sosial – secara amnya ibu bapa tidak menggalakkan TVET dan anak muda lebih menunjukkan kecendurangan untuk menceburi perniagaan kecil-kecilan.


Menurut laporan lama Economic Transformation Programme (Kementerian Pendidikan Malaysia 2013), dianggarkan bahawa pekerja berkemahiran vokasional dan persijilan profesional adalah golongan tenaga kerja yang paling diperlukan di Malaysia.

Masa Depan TVET dan peluang kerjaya di masa depan

Ia seakan mengimbas kembali pengalaman kerjaya awal saya sebagai pelatih IT bertauliah di awal 2000-an. Pasca kegawatan ekonomi pada 1998 yang menyebabkan ramai pekerja diberhentikan melalui skim VSS dan MSS. Kerajaan menggalakkan program ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ dengan kerjasama Pusat Sumber Manusia Berhad untuk industri IT.

Walaupun terpalit dengan krisis ekonomi masa itu, industri IT membangun dengan pesat pada masa itu dan terdapat banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini.

Mereka yang diberhentikan kerja dan graduan universiti, layak menjalankan kursus professional dari pelopor teknologi IT seperti Microsoft dan Cisco. Mereka yang dipilih akan melalui latihan 3 bulan, dengan elaun asas dan kos bertauliah (accredidation). Setelah latihan disempurnakan, mereka akan melalui peperiksaan untuk melayakkan sijil professional seperti Microsoft Certified System Engineer (MCSE) dan Cisco Certified Network Analyst (CCNA) serta ditempatkan kerja di syarikat-syarikat swasta tempatan.


Hasilnya, ramai graduan pada masa itu memulakan kerjaya baru dan ada di dalam kenalan saya telah menjadi antara pelopor industri hari ini.

Kini, dunia mungkin telah berubah, namun masih kelihatan syarikat-syarikat swasta Malaysia masih bergantung dengan pekerja ‘ekspat’ yang lebih berdedikasi dan mahir. Tanggapan ini harus diubah, walaupun adanya kebenarannya. Oleh itu, saya percaya (sekiranya tafsiran saya benar dan tiada ketirisan), pengumuman belanjawan khusus TVET menetapi objektif untuk hala tuju pembangunan negara.

1. Kemahiran diperluaskan berdasarkan keperluan industri hari ini.

2. Meningkatkan pendedahan kepada teknologi terbaru seperti aeronautik, otomobil, robotik, ‘applied science’.

3. Memperkenalkan pelan insentif dengan syarikat swasta

4. Memperkenalkan program penempatan kerja sehabisnya kursus.

5. Menaikkan martabat TVET sebagai kerjaya bermaruah.

Kesimpulan

Kerjaya vokasional harus berdasarkan keperluan industri. Kursus yang ditawarkan tidak seharusnya menghadkan kerjaya sebagai seorang operator atau juruteknik, tetapi sebagai pekerja berkemahiran tinggi dalam industri berteknologi tinggi seperti teknologi maklumat (IT).

Walaupun terdapat beberapa cabaran dalam pembangunan TVET di Malaysia, terdapat pelbagai usaha dan strategi yang dilaksanakan untuk meningkatkan mutu dan relevansi kursus-kursus TVET. Penglibatan pemain industri seperti Petronas dan Sunway dengan insitusi latihan tempatan, pastinya akan menjadi pemangkin pembangunan TVET sebagai fokus utama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kecemerlangan Malaysia dalam bidang industri dan perdagangan global.

Ini bukan kali pertama TVET dijadikan tumpuan dalam Belanjawan dalam tahun-tahun lepas, Namun kali ini, dengan jelas menunjukkan iltizam kerajaan untuk mewujud dan memperkasakan pekerja berkemahiran tinggi agar ia menjadi satu kerjaya bermaruah serta diiktiraf ramai.

Ramai anak muda tidak berminat dalam kerjaya vokasional, atas pelbagai faktor. Namun, mereka perlu dibimbing dari usia yang muda bahawa kepentingan untuk membina kerjaya jangka masa panjang dan satu-satunya cara adalah membina satu kerjaya yang berdasarkan kemahiran khusus, tidak kira vokasional atau akademik.

* Trivia – TVET dijadikan satu istilah ‘treding’ yang tiba-tiba popular selepas YB Nurul Izzah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal (TVET) pada tahun 2018.

* Penulis merupakan pengamal IT, menceburi bidang latihan IT (Regional IT Trainer) pada tahun 1999 dengan kelulusan Microsoft Certified Professional dan Microsoft Certified System Engineer. Beliau terus membuat latihan IT serantau di Malaysia, Singapura, Hong Kong dan China sehingga 2006.

Andre Lai
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *