Melayari 67 Tahun Kemerdekaan Bersama ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’

Inisiatif Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan Andre Lai meraikan pelancaran sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di beberapa buah sekolah berjaya mendekatkan mereka dengan semangat “Jiwa Merdeka” yang menjadi elemen utama sambutan tahun ini. Foto Andre Lai
PENDAPAT, 30 Ogos – Sedar tak sedar, tahun ini, kita memperingati ulang tahun ke-67 kemerdekaan negara kita, Malaysia dalam konteks sebuah negara berdaulat.
Lebih merupakan sebuah catatan perjalanan yang panjang dan penuh dengan cabaran, sambutan ini jelas kepada kita membuktikan bahawa semangat merdeka itu tidak pernah luntur dalam jiwa rakyat Malaysia.
Berpandukan aspirasi oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Menteri Malaysia yang memperkenalkan konsep Malaysia MADANI pada 19 Januari 2023, gagasan itu memfokuskan kepada keharmonian masyarakat majmuk, pembangunan mampan dan tadbir urus baik.

Pemilihan tema sambutan tahun ini, “Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka” membawa banyak erti mendalam malah jauh tersirat memaknai istilah kemerdekaan sebenar yang patut dihayati dan dipraktikkan sepanjang masa.
Kemerdekaan bukan sekadar membebaskan diri dari sebarang bentuk penjajahan fizikal, tetapi lebih penting ialah membebaskan pemikiran dari segala bentuk belenggu yang menghalang kemajuan dek kerana politik kebencian dan perkauman.
“Jiwa Merdeka” adalah manifestasi keberanian untuk berdiri teguh, keazaman untuk melangkah dengan yakin dan pasti serta meletakkan kebijaksanaan untuk memilih jalan yang terbaik bagi masa depan kita.

Kita harus terus memupuk semangat “Jiwa Merdeka” dalam setiap aspek kehidupan seharian. Misalnya dalam konteks pendidikan, kita harus mendidik anak-anak kita untuk menjadi pemikir yang bebas dan kreatif.
Manakala dari segi ekonomi, kita harus berusaha untuk menjadi lebih inovatif dan kompetitif di peringkat global. Sementara dalam konteks sosial, kita harus memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian antara pelbagai kaum dan agama.
“Jiwa Merdeka” juga bermakna memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan. Kita harus bersama-sama menentang segala bentuk diskriminasi dan ketidak adilan. Setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, berhak untuk hidup dengan bermaruah dan mendapat peluang yang sama rata untuk berjaya.

Hampir 67 tahun Malaysia telah melalui liku-liku perjalanan yang sukar selama ini, namun Malaysia tetap boleh mengharungi semua cabaran.
Sejak penjajahan Portugis pada 1511 sehingga British pada 1957, Tanah Melayu yang kini bernama Malaysia muncul sebagai sebuah kerajaan perpaduan Malaysia MADANI yang kukuh hingga disegani negara luar sejak November 2022.
Saban hari, satu per satu halangan telah ditempuhi. Nilai Ringgit Malaysia (RM) yang semakin kukuh, perkembangan ekonomi yang positif, jeritan isu 3R dinoktahkan – kesemua berita baik baru-baru ini yang telah menunjukkan Malaysia berada di dalam landasan yang baik di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Indikator penting prestasi ekonomi negara ini menunjukkan negara berada di landasan tepat pemulihan sekali gus bakal menjadi sebuah negara berprestasi tinggi dalam hampir semua aspek beberapa tahun lagi.
Di hari yang mulia ini, marilah kita berjanji untuk terus memelihara dan menghormati nilai-nilai kemerdekaan yang telah kita warisi.
Nenek moyang kita telah memilih tanah bertuah ini sebagai rumah, tanah tumpah darah abadi maka haruslah kita mempertahankan tanah air daripada anasir-anasir yang akan merobek perpaduan sesama kita.
Marilah kita bersatu padu, berganding bahu untuk membawa perubahan dan reformasi demi memacu Malaysia yang lebih makmur, adil, dan berdaulat.
Semoga semangat “Jiwa Merdeka” akan terus berkobar dalam diri setiap rakyat Malaysia. Semoga kita akan terus maju dan berjaya dalam setiap usaha dan cabaran yang akan datang.
Selamat Hari Kebangsaan yang ke-67, Malaysia. Kita semua satu keluarga.
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Andre Lai Chen Heng
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan
Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

