Media Sosial Lebih 8 Juta Pengguna Dianggap Berdaftar Mulai 1 Januari, Perkasa Perlindungan Kepada Kanak-Kanak – SKMM

SKMM berkata, pengetepian formaliti pendaftaran di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu bagi memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara.
KUALA LUMPUR, 15 Dis – Semua penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan internet di Malaysia yang mempunyai lapan juta atau lebih pengguna dianggap berdaftar sebagai pemberi perkhidmatan aplikasi (ASP) mulai 1 Januari ini, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ia termasuk aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
SKMM berkata, pengetepian formaliti pendaftaran di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu bagi memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar beroperasi dalam kerangka perundangan serta kawal selia negara.
“Pendekatan ini juga selaras kerangka pelesenan penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu bagi mengukuhkan akauntabiliti serta pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
“Inisiatif ini juga bagi memastikan semua platform terlibat memikul tanggungjawab lebih jelas terhadap keselamatan pengguna, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Manakala Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025) yang bakal diperkenalkan akan mempertingkatkan usaha memastikan keselamatan kanak-kanak di ruang digital.

Ia memberi tumpuan kepada pembangunan instrumen subsidiari bagi mengukuhkan komitmen penyedia perkhidmatan berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selaras dengan pelaksanaan ONSA 2025.
“ONSA 2025 memperkenalkan rangka kerja pengawalseliaan yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform media sosial.
“Ia bertujuan untuk mengurus kandungan berisiko tinggi seperti bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM), pornografi, lucah serta kandungan berkaitan mencederakan diri,” kata SKMM.
Kedua-dua langkah tersebut tidak akan menjejaskan operasi global penyedia perkhidmatan dan ia sejajar amalan antarabangsa mengawal selia platform dalam talian berskala besar.
“SKMM akan terus bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memperkukuh keselamatan dalam talian, terutama kanak-kanak serta keluarga demi manfaat semua pengguna di Malaysia.”
Maklumat terperinci pelaksanaan peruntukan deeming boleh diperoleh menerusi pautan berikut: https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf2/FAQ_Pelaksanaan-Peruntukan-Deeming_15-Disember-2025.pdf
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
