Media Diingat Patuh Etika Penyiaran Kandungan Sensitif – MCMC

MCMC meminta pertimbangan editorial yang tinggi serta mematuhi standard etika dalam mengendalikan kandungan sensitif, khususnya yang membabitkan kemalangan. Foto MCMC
CYBERJAYA, 31 Mac – Semua organisasi media diingatkan supaya sentiasa mengamalkan pertimbangan editorial yang tinggi serta mematuhi standard etika dalam mengendalikan kandungan sensitif, khususnya yang membabitkan kemalangan, tragedi dan insiden kehilangan nyawa.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan penyebaran imej atau video yang bersifat eksplisit, mengganggu emosi atau memaparkan mangsa yang meninggal dunia adalah tidak sensitif serta tidak menghormati maruah mangsa dan perasaan ahli keluarga.
Menurut kenyataan itu, kandungan sedemikian juga dianggap tidak beretika dan tidak seharusnya dikongsi atau dieksploitasi semata-mata untuk menarik perhatian, meningkatkan pembabitan atau meraih capaian dalam talian.
“Usaha mendapatkan tontonan tidak boleh mengatasi nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial,” kata kenyataan itu.
MCMC turut menegaskan bahawa semua organisasi media perlu mematuhi sepenuhnya garis panduan etika pelaporan bagi memastikan penyiaran kandungan dilakukan secara bertanggungjawab dan berhemah.
“Kegagalan mematuhi standard ini boleh dikenakan tindakan pengawalseliaan, termasuk penggantungan akaun media sosial berkaitan.
“Semua pihak diharap terus bertindak secara profesional, berhemah dan menghormati sensitiviti masyarakat pada setiap masa,” menurut kenyataan itu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

