MCMC Siasat Hantaran Palsu Guna Logo Stesen Televisyen

Seorang wanita yang disyaki membuat hantaran palsu disiasat MCMC di IPD Daerah Kerian, Perak pada 29 Disember 2025. Foto MCMC

KUALA LUMPUR, 30 Dis – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka satu kertas siasatan berhubung penularan hantaran palsu di media sosial yang menggunakan logo dan identiti visual sebuah stesen televisyen tempatan bagi menyebarkan maklumat tidak benar kononnya Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, mengeluarkan kenyataan mengenai penutupan TikTok Malaysia.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan awal mendapati kandungan berkenaan telah diubah suai dan disahkan sebagai palsu, selain menegaskan bahawa kenyataan tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi.

Menurut kenyataan itu, stesen televisyen itu turut membuat laporan polis dan menafikan bahawa hantaran berkenaan diterbitkan oleh mereka atau mana-mana platform berita di bawah rangkaian syarikat itu.

MCMC menegaskan bahawa penggunaan logo, nama serta identiti visual stesen berkenaan merupakan satu bentuk penyalahgunaan yang boleh mengelirukan orang ramai.

“Sehubungan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Seorang individu yang disyaki terlibat telah dipanggil untuk membantu siasatan dan keterangannya dirakam oleh MCMC di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, Perak,” menurut MCMC.

MCMC turut menyita satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM bagi tujuan analisis forensik digital.

Selain itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum memuat naik, berkongsi atau mengulas di media sosial kerana penyebaran kandungan palsu serta penyalahgunaan identiti boleh membawa kepada tindakan undang-undang.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *