MCMC Siasat Segera Kes Pijak Al-Quran Babit Akaun ‘Dickie Borneo’

MCMC berkata, akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan, namun siasatan lanjut akan diteruskan. Foto MCMC
CYBERJAYA, 11 Mac – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan siasatan dengan kadar segera susulan penyebaran visual di platform Threads dan Facebook yang memaparkan tindakan biadab seorang individu memijak al-Quran.
Dalam kenyataan media hari ini, MCMC menyatakan perbuatan itu bukan sahaja menghina agama Islam, malah berpotensi mencetuskan ketegangan serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Menurut kenyataan itu, semakan awal mendapati hantaran asal berkenaan sudah dipadam dan akaun yang terlibat dipercayai menggunakan nama Dickie Borneo tidak dapat dikesan, namun siasatan lanjut akan diteruskan.

MCMC turut memaklumkan hasil pemantauan lanjut mengenal pasti beberapa hantaran lain yang mengandungi unsur penghinaan agama dipercayai melibatkan individu sama dalam sebuah kumpulan media sosial, dengan semua kandungan berkaitan dipelihara sebagai bahan bukti bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“MCMC kini sedang bekerjasama dengan platform media sosial bagi mendapatkan maklumat pemilik akaun untuk mengenal pasti individu terlibat. MCMC turut bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas dan segera dapat diambil,” menurut kenyataan itu.
MCMC turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan semula kandungan yang boleh mencetuskan ketegangan serta menjejaskan ketenteraman awam.

Ia sambil menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan yang menghina agama, menghasut kebencian atau menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja, dan tindakan tegas boleh dikenakan di bawah undang-undang sedia ada.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
