Mampukah Walz Pacu Kemenangan Harris?

Kamala Harris (kiri) melantik Tim Walz (kanan) sebagai calon naib presiden bagi parti Demokrat. Foto Politico

NEW YORK, 7 Ogos – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris melantik Gabenor Minnesota, Tim Walz sebagai calon jawatan tersebut bagi bertanding dalam pilihan raya November ini, lapor agensi berita United Press International (UPI).

Harris yang juga calon Presiden AS daripada Parti Demokrat, mengumumkan pelantikan itu dalam satu kenyataan menerusi e-mel.

“Saya sudah meminta Tim Walz untuk berganding dengan saya. Salah satu perkara yang menonjol tentang beliau adalah keyakinannya dalam memperjuangkan keluarga kelas pertengahan.

“Sebagai seorang gabenor, jurulatih, guru dan veteran, beliau juga sudah berkhidmat untuk golongan pekerja, sama seperti keluarganya,” kata Harris.

Menerusi siaran di platform X, Walz berkata, dipilih sebagai gandingan Harris adalah satu penghormatan yang besar.

Susulan pengumuman itu, Harris dan Waltz membuat penampilan bersama buat pertama kali semalam di Philadelphia.

“Kami berjuang untuk masa depan, di mana kami mempertahankan kebebasan kita yang paling asas,” kata Harris kepada penyokongnya yang bersorak sambil Walz berdiri di sebelahnya.

“Saya berusaha untuk mencari rakan kongsi yang boleh membantu membina masa depan yang lebih cerah.

“Seorang pemimpin yang akan menyatukan negara kita dan memajukan kita ke hadapan, seorang pejuang kelas pertengahan dan seorang patriot yang mempunyai kepercayaan seperti saya,” tambahnya.

Walz, 60, merupakan pegawai negeri Minnesota ketiga yang dipilih sebagai calon naib presiden dalam Parti Demokrat, selepas Hubert Humphrey dan Walter Mondale.

Penganalisis bagaimanapun berpendapat masa diperlukan untuk melihat sama ada Walz mampu membantu kemenangan Harris yang semakin menghampiri calon Republikan Donald Trump.

Kedua-duanya telah dipilih untuk memegang jawatan bersama bekas Presiden, Lyndon B. Johnson dan Jimmy Carter. – AGENSI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *