Malaysiaku Bersama Gaza: PM Anwar Umum Bantuan Tambahan RM100 Juta

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir dan menyampaikan syarahan umum pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 24 Ogos 2025. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili Kerajaan MADANI mengumumkan dana RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang semakin menderita akibat kekejaman rejim Zionis.
Perdana Menteri berkata, dana itu tambahan kepada bantuan RM100 juta yang diberikan dua tahun lalu, yang kemudian turut disumbang syarikat dan rakyat negara ini.
Perdana Menteri menegaskan, bantuan tambahan itu amat diperlukan rakyat Palestin berikutan bekalan makanan dan perubatan yang dihantar sebelum ini tidak sampai kepada mereka, akibat sekatan dan kekejaman Israel.
“Mereka (syarikat dan rakyat) sudah membantu sebelum ini dengan pelbagai bantuan tapi dengan (sekatan) zionis Israel, sampai busuk dan rosak barang,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka di sini, malam ini.
Perdana Menteri dalam pada itu menyelar sikap Israel yang terus-menerus menyekat bekalan makanan dan perubatan yang amat diperlukan rakyat Palestin.
“Apa jenis manusia ini… ini bukan manusia, ini haiwan.
“Orang lapar, mati kebuluran, bahan makanan di sempadan tidak boleh masuk. Orang sakit perlu ubat, ubatnya dipagar. Manusia paling teruk pun tidak seperti ini.

“Ini (Perdana Menteri Israel, Benjamin) Netanyahu dan kelompoknya, memang kurang siuman, zalim. Anak kecil, dua tahun berlari (didakwa) ini Hamas. Ini penyakit apa?” katanya.
Terdahulu, konvoi Sumud Nusantara iaitu gerakan solidariti beberapa negara termasuk dari ASEAN tiba di Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di sini yang merupakan kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025.
Ketibaan kumpulan terdiri daripada delegasi Malaysia dari zon utara, timur dan tengah disambut Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim dan Ketua Pengarah Sumud Nusantara merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Kumpulan hampir seratus peserta itu turut disertai wakil daripada lapan negara antaranya Indonesia, Maldives, Bangladesh dan Pakistan yang mencerminkan keteguhan dalam menentang penindasan berterusan ke atas penduduk Gaza.
Muhammad Kamil berkata konvoi berkenaan bukti suara Malaysia dan beberapa negara yang tidak gentar untuk menyokong usaha membebaskan Palestin daripada terus menjadi mangsa kezaliman Israel.
“Misi ni bukan tujuan untuk berperang tetapi untuk memberikan tekanan dan misi kemanusiaan untuk menolak kekejaman dan pembantaian terhadap penduduk khususnya di Gaza yang masih berterusan sehingga ke hari ini.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

