Malaysia-Thailand Setuju Laksana Pembersihan Sungai Golok – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Srettha Thavisin di Kompleks Apam Putra, Pejabat Tanah Dan Jajahan Pasir Mas, Kelantan hari ini. Anwar dan Srettha mengadakan lawatan kerja ke Sungai Golok, Narathiwat, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PASIR MAS, 3 Ogos – Malaysia-Thailand setuju untuk melaksanakan pembersihan Sungai Golok bagi mengatasi masalah banjir dihadapi penduduk dua negara berkenaan setiap tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pembersihan Sungai Golok akan memberi banyak manfaat kepada penduduk terutama di Rantau Panjang dan Narathiwat.
“Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin juga sudah bersetuju untuk menyelesaikan masalah berkenaan bagi membantu penduduk sempadan di kedua-dua negara selepas saya menyuarakan masalah yang berlaku.

“Kerajaan juga sudah bersedia daripada segi kewangan dan langkah pertama yang perlu diambil ialah secara teknikal supaya sungai dapat segera diurus dan mengalir dengan baik bagi mengelak berlaku timbunan yang menyekat aliran sungai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Sempena Lawatan Kerja ke Rantau Panjang Kelantan dan Sungai Golok, Thailand, di Dewan Utama Kompleks Apam Putra, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, hari ini.
Turut mengiringi beliau adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Terdahulu, Perdana Menteri melawat Sungai Golok bersama Srettha sebelum hadir Jamuan Makan Tenaga Hari di Kompleks Apam Putra Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, di sini.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata kerajaan turut menggesa agar projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) dipercepatkan kerana ia juga menjadi masalah utama kepada penduduk yang berhadapan masalah banjir.
“Peruntukan sudah disediakan namun kita juga perlu mengikut anggaran kejuruteraan selain melakukan skop kajian dengan teliti supaya projek PLSB dapat disiapkan dengan sempurna.
“Kerajaan sentiasa mengikuti perkembangan projek ini dari semasa ke semasa bagi memastikan projek terbabit diselesaikan dengan baik tanpa meninggalkan kesan buruk terutama kepada penduduk yang tinggal berdekatan tapak projek,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
