Malaysia, Thailand Bentuk Pasukan Tugas Khas Bersama – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi Malaysia semasa mesyuarat yang diadakan bersama wakil daripada Thailand yang diketuai oleh PM Srettha. Foto Facebook Anwar Ibrahim

SADAO, 27 Nov – Malaysia dan Thailand akan membentuk satu Pasukan Tugas Bersama untuk meneliti dan meningkatkan hubungan dua hala dalam empat bidang untuk manfaat kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya, Srettha Thavisin turut membincangkan mengenai pembentukan pasukan tersebut.

Kata beliau, empat bidang tersebut adalah perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan serta keselamatan negara.

“Meskipun kedua negara adalah tetangga dekat, kami berasa bahawa kerjasama perdagangan dan ekonomi masih rendah. Malaysia dan Thailand setuju untuk mengadakan Jawatankuasa Perdagangan Bersama pada suku pertama 2024 untuk menyelesaikan masalah tertunda dan meningkatkan perdagangan dua hala.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi Malaysia semasa mesyuarat yang diadakan bersama wakil daripada Thailand yang diketuai oleh PM Srettha. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Kedua-dua kami juga bersetuju agar Dewan Perniagaan di peringkat negeri atau wilayah memimpin dalam meningkatkan perdagangan dua hala, terutama di wilayah perbatasan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja sehari dan pertemuan dengan Srettha di kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sadao, Thailand hari ini.

Tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk melihat kemajuan kerja bagi projek Jajaran Jalan yang menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia dan CIQ di Thailand.

Anwar diapit Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau dan Srettha turut membahas langkah-langkah tindak lanjut dari kunjungan beliau ke Malaysia pada Oktober lalu.

Sementara itu, mengenai projek penyambungan, Anwar berkata, Thailand bersetuju untuk mempercepatkan pembinaan Jambatan Persahabatan Kedua Rantau Panjang dan Sungai Golok.

Jelasnya, kedua-dua pemimpin juga sepakat untuk mendirikan Memorandum Persefahaman (MoU) tentang penanggulangan perdagangan haram dan pemburuan haiwan liar secara haram.

“Thailand juga menyatakan minatnya untuk mencari bantuan dari Malaysia di sektor halal, terutama dalam proses piawaian dan pengesahan. Kunjungan ini mencapai tujuannya dalam meningkatkan kerjasama yang sedia erat, khususnya dalam memaksimumkan potensi manfaat dalam kerjasama perbatasan.

“Malaysia sangat menghargai hubungan persahabatan dengan Thailand dan ingin melihat lebih banyak kegiatan di wilayah perbatasan yang dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua rakyat Malaysia dan Thailand,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *