Malaysia Tegaskan Sokongan Terhadap Kedaulatan Qatar – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbualan telefon bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dalam suasana Aidilfitri yang penuh makna pada 25 Mac 2026. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Malaysia secara tegas menzahirkan sokongan terhadap kedaulatan Qatar dan mengecam keras serangan yang menyasarkan kemudahan Gas Asli Cecair (LNG) Ras Laffan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi perbualan telefon dengan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, Anwar berkata Malaysia menyifatkan infrastruktur tenaga berkenaan sebagai kritikal kepada ekonomi global.

Perdana Menteri berkata menerusi hantaran di Facebook, beliau dan rakan sejawatnya itu turut sependapat bahawa semua pihak perlu meredakan ketegangan dan kembali kepada dialog serta diplomasi demi kestabilan serantau.

“Moga keamanan di Asia Barat dapat segera dipulihkan, insya-Allah,” ujar Anwar.

Anwar berkata, dalam perbualan berkenaan beliau dan Sheikh Mohammed turut bertukar-tukar ucapan sempena Aidilfitri serta menzahirkan keprihatinan terhadap situasi keselamatan di Asia Barat yang kian meruncing.

Beliau turut merakamkan takziah atas tragedi nahas helikopter yang meragut nyawa anggota Angkatan Tentera Qatar serta warga Turkiye dan menzahirkan solidariti kepada keluarga mangsa.

Serangan bertali arus Iran memusnahkan kemudahan hab tenaga utama Qatar di Las Raffan pada 18 Mac 2026. Foto AFP

Ras Laffan ialah terminal eksport LNG terbesar di dunia, dan bertanggungjawab menyalurkan kira-kira 20 peratus bekalan global.

Tahun lalu, Qatar mengeksport 81 juta tan LNG, dengan kira-kira 90 peratus daripadanya untuk pasaran Asia.

Serangan ke atas kemudahan berkenaan pada 18 Mac lalu menyebabkan gangguan kira-kira 5.8 juta tan bekalan LNG bagi bulan Mac.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *