Malaysia Sokong Hak Iran Balas Serangan Rejim Israel – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan majlis penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront, Lumut pada 15 Jun 2025. Foto MAQIS

LUMUT, 15 Jun – Malaysia menyokong hak Iran untuk mempertahankan kedaulatan negara mereka selepas diserang rejim Zionis sejak Jumaat lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri mengulas tindakan Iran yang berhak melakukan serangan balas demi mempertahankan maruah negara mereka yang diserang terlebih dahulu oleh negara haram itu.

“Beberapa hari ini Iran diserang oleh Israel, senang-senang target bunuh semua saintis, mana ada negara boleh biadab, khianat, dan gila seperti Israel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Kenduri Rakyat bersama warga TLDM sebelum merasmikan majlis penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront, Lumut pada 15 Jun 2025. Foto Rais Aslam Jamigul

“Umat Islam ada 1 bilion lebih, negara Islam kaya tapi nak bercakap pertahankan Iran pun tak ramai. Sebab itu saya bagitahu kawan-kawan saya Malaysia ini biarlah ada keupayaan,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak Darul Ridzuan di Lumut, hari ini.

Tambah Perdana Menteri, Iran telah berdepan pelbagai sekatan ekonomi dan serangan sebelum ini namun tetap mempunyai daya tahan yang tinggi.

Ia berbeza dengan situasi di Malaysia yang mendapat sokongan pelbagai pihak dalam dan luar negara bagi meningkatkan teknologi serta penyelidikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan ke tapak projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di Lumut pada 15 Jun 2025. Foto Bernama

“Kita (Malaysia) negara merdeka dan berdaulat, kita mesti pertahankan hak sahabat-sahabat kita termasuk Iran, kita pertahankan hak Iran untuk serang balas mempertahankan maruah negara mereka.

“Kita ada beberapa perbezaan dengan mereka, tapi dia ditekan begitu lama, sekatan ekonomi begitu lama tapi daya tahan dia, buat penyelidikan, disiplin anak-anak dia, belajar kecerdasan buatan (AI) orang tidak bagi kerjasama.

“Tidak ada syarikat-syarikat seperti di negara kita Infineon, Nvidia, Google, Microsoft semua masuk, dia tak ada yang masuk tapi dia mampu belajar peluru berpandu anti-balistik dia boleh sampai Tel Aviv tapi kemudian dia serang dia diserang balas,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, ujar Anwar, kerajaan MADANI berpegang kepada prinsip membela dan mempertahankan hak semua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir merasmikan majlis penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak di Lumut Waterfront, Lumut pada 15 Jun 2025. Foto UTHM

“Banyak negara Eropah serang dan marah Iran, bila Israel serang kamu diam. Bila Iran jawab (balas serangan) balik kamu serang.

“Saya tidak wakili pandangan begitu, kita pimpinan Kerajaan MADANI tetap memegang prinsip membela hak dan mempertahankan hak semua negara,” tegasnya lagi.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *