Malaysia Sertai BRICS Bagi Usaha Pelbagaikan Diplomasi Ekonomi – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar bersama Modi semasa sidang media bersama di Istana Presiden India Rashtrapati Bhavan di New Delhi, India. Foto Facebook Anwar Ibrahim

NEW DELHI, 21 Ogos – Penyertaan Malaysia dalam platform kesatuan ekonomi antara kerajaan seperti BRICS adalah sebagai langkah mempelbagaikan usaha diplomasi ekonomi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepelbagaian hubungan strategik akan membantu Malaysia meningkatkan kerjasama melalui inisiatif bersama selain menjadikan ekonomi negara lebih berdaya tahan.

“Peranan India yang berbeza serta berpengaruh dalam BRICS adalah penting ketika kita menyedari bahawa hubungan dua hala yang kukuh akan meningkatkan lagi nilai signifikan terhadap dinamik perkumpulan itu,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties’ di Sapru House Indian Council of World Affairs (ICWA) di New Delhi, India. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk Ke Arah Pembangunan Global Selatan Memanfaatkan Hubungan Malaysia-India di Sapru House, anjuran Majlis Hal Ehwal Dunia India (ICWA) di sini, pada Selasa.

Anwar dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke India atas jemputan Perdana Menteri Narendra Modi, tiba di sini pada Isnin.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, penyertaan Malaysia ke dalam BRICS, tidak boleh ditafsirkan sebagai mengukuhkan hubungan ekonomi dengan India sahaja, sebaliknya merupakan kelangsungan ekonomi kepada usaha semasa Malaysia untuk menjalin hubungan merentasi spektrum industri dan dasar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdialog selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties’ di Sapru House Indian Council of World Affairs (ICWA) di New Delhi, India. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Bersandarkan kepentingan itu, Malaysia tidak akan mengelak daripada melaksanakan usaha dan menyertai pengaturan yang memberi manfaat.

“Langkah Malaysia mengemukakan permohonan untuk menyertai BRICS adalah satu contoh yang tepat,” ujar beliau.

Menurut Anwar, Malaysia percaya mekanisme itu adalah langkah tepat dalam usaha penyampaian manfaat awam demi faedah rakyat serta meningkatkan taraf hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Towards a Rising Global South: Leveraging Malaysia-India Ties’ di Sapru House Indian Council of World Affairs (ICWA) di New Delhi, India. Foto Facebook Anwar Ibrahim

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.

Pada Januari 2024 pula, negara Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu.

Secara kumulatif, keluaran dalam negara kasar negara-negara anggota BRICS berjumlah US$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus daripada KDNK dunia dan hampir menyamai kekuatan ekonomi negara-negara kumpulan G7.

Negara anggota BRICS juga mempunyai bilangan populasi besar sebanyak 3.21 bilion yang dijangka terus meningkat menerusi penyertaan Mesir, Ethiopia, Iran dan UAE yang berpenduduk 333 juta orang, sekali gus membentuk pasaran mega merangkumi kira-kira 3.54 bilion orang atau hampir 45 peratus penduduk dunia.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *