Tujuh MoU Bertukar Antara Syarikat India-Malaysia, Pertingkat Dagangan Dua Hala

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat bersama syarikat-syarikat terkemuka dari India sempena lawatan rasmi tiga hari ke negara itu yang mencatatkan perkembangan positif kepada ekonomi negara. Foto Facebook Anwar Ibrahim
NEW DELHI, 21 Ogos – Nilai dagangan Malaysia-India pada 2023 menunjukkan peningkatan baik pada kadar 15 peratus dan momentum perdagangan itu disasarkan meningkat pada tahun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah bersetuju untuk menaikkan taraf dan menambah baik apa-apa perjanjian sedia ada.
“Terutama sekali peningkatan hubungan daripada Perkongsian Strategik Dipertingkat (ESP) kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

“Ini merangkumi banyak pelaburan dan perdagangan dalam sektor seperti pembuatan, semi konduktor, ekonomi digital dan teknologi kewangan (fintech) sampailah aspek keselamatan makanan dan sebagainya.
“Malah, sebelum ketibaan Perdana Menteri, berlangsung Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) membabitkan syarikat Malaysia dan India, yang turut disertai Majlis Perniagaan Malaysia India (MIBC),” katanya pada hari terakhir lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri ke India hari ini, sejurus sebelum pulang ke tanah air.
Terdahulu, Tengku Zafrul, menyaksikan pertukaran tujuh memorandum persefahaman (MoU) membabitkan syarikat dari Malaysia dan India, merangkumi industri logistik, ekuiti swasta, pelaburan dan syarikat pemula.

MoU pertama ialah antara Renegy Bumi Hijau Sdn Bhd (RBHSB) dengan Kolej Kejuruteraan Thiagarajar, Madurai, Tamil Nadu, India (TCE), disusuli MoU antara Beyond4 Sdn Bhd dan T-Hub Foundation.
MoU ketiga adalah antara Mutiara Etnik Sdn Bhd dan Neptune Automation SWM Pvt Ltd, seterusnya ialah MoU antara Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd dan Rail Vikas Nigam Limited, India (RVNL).
MoU kelima adalah antara Cradle Fund dan invest India, keenam ialah MoU antara SMH Rail Sdn Bhd, Malaysia dan BEML Limited Bengaluru, India dan MoU terakhir adalah antara MIBC dan Invest India.

Kata Tengku Zafrul, syarikat India telah memberi komitmen untuk melabur dalam tiga syarikat Malaysia membabitkan RM4.5 bilion dan dari segi perdagangan mendapat komitmen untuk membeli barangan Malaysia seperti elektrikal dan elektronik, minyak sawit, kimia, bernilai RM8 bilion.
“Sehubungan itu, Perdana Menteri memberi kita masa tiga bulan untuk kembali melaporkan kemajuan kepadanya mengenai apa yang kita boleh buat bersama-sama dengan India dan dari sudut perdagangan, …memanglah ada banyak bidang baharu yang kita boleh tumpukan.
“Malah, perjumpaan meja bulat pagi tadi agak menarik kerana ada kepakaran Malaysia yang India perlukan dan juga sebaliknya.

“Kita dengan dua syarikat besar yang dalam mesyuarat satu sama satu dengan antara Perdana Menteri iaitu TCS, antara syarikat terbesar India yang disenarai di Mumbai dan sudah lama beroperasi di Malaysia dan satu lagi ialah HCL Tech,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, HCL Tech ada banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat elektrik dan elektronik di Malaysia, menawarkan perisian penyelesaian, dan sebagainya.
Selain itu, tambah beliau, Perdana Menteri turut menekankan pembangunan bakat terutama bidang kejuruteraan dan India bersetuju bekerjasama, seperti mana dalam bidang digital, bagi melatih pekerja Malaysia dan menawarkan kerja kepada mereka.
Katanya, syarikat semikonduktor India juga menyuarakan minat bekerjasama dengan syarikat Malaysia yang lebih maju dalam sektor berkenaan manakala India baharu hendak bermula.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
