Malaysia Sedia Hubungi Pemimpin Utama OIC – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia menghubungi pemimpin utama OIC bagi membincangkan isu serangan Israel ke atas Qatar pada 9 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 10 Sep – Malaysia bersedia menghubungi pemimpin-pemimpin utama Islam menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mengutuk sekeras-kerasnya kebiadaban rejim Zionis Israel yang berterusan mencabuli hak asasi manusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sendiri bersedia menghubungi beberapa pemimpin Islam termasuk Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani; Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan serta pemimpin negara Islam lain bagi membincangkan perkara itu.
“Menteri Luar telah menghubungi Menteri Luar Qatar dan kalau perlu, saya akan menghubungi Emir Qatar termasuk beberapa pemimpin Islam (Erdogan dan Putera Mahkota Mohammed Salman) dan beberapa yang lain.

“Ia bagi fikirkan keperluan kerana kebiadaban Israel itu keterlaluan dan dia boleh serang mana-mana negara atas apa-apa alasan dan kita telah kutuk keras mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan mengadakan sidang tergempar bersama pemimpin OIC susulan serangan Israel terhadap Qatar semalam.
Anwar menegaskan, serangan berterusan Israel membuktikan sistem dunia kini gagal apabila jenayah terang-terangan rejim Zionis itu seakan dipandang remeh oleh beberapa negara antarabangsa.

“Ini menunjukkan sistem apa yang saya bicarakan sebelum ini, sistem dunia gagal. Satu negara lakukan jenayah terang-terang, negara lain boleh biarkan begitu rupa. Ini akan rosakkan seluruh sistem dan tatanan dunia,” katanya.
Terdahulu, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas sebuah bangunan kediaman di Doha dengan menyifatkan tindakan itu melanggar kedaulatan Qatar dan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
