Malaysia Sambut Baik Gencatan Senjata Antara Thailand Dan Kemboja – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang berkuat kuasa mulai jam 12 tengah hari 27 Disember 2025. Foto PMO

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyambut baik persetujuan gencatan senjata dicapai antara Kemboja dan Thailand yang berkuat kuasa pada jam 12 tengah hari tadi.

Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Perdana Menteri berkata, keputusan bagi menghentikan pertempuran dan mengekalkan kedudukan pasukan masing-masing mencerminkan pengiktirafan bersama bahawa sikap bertimbang rasa amat penting demi keselamatan orang awam.

“Kenyataan bersama itu menggariskan langkah praktikal dan positif termasuk pengesahan oleh Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) serta komunikasi langsung antara pihak berkuasa pertahanan.

Perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja dimeterai pada 12 tengah hari 27 Disember 2025. Foto AFP

“Langkah ini menyediakan asas kepada kestabilan dan saya berharap kedua-dua pihak akan melaksanakannya dengan penuh komitmen,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan itu, Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menyokong segala usaha bagi memastikan perjanjian itu dipatuhi khususnya ketika Malaysia menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Filipina pada 1 Januari ini.

“Usaha berterusan itu penting bagi memelihara prestij dan kredibiliti ASEAN sebagai sebuah rantau yang aman, stabil dan dihormati pada peringkat antarabangsa,” ujar Anwar lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung menerusi panggilan telefon dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul pada 20 Disember 2025. Foto PMO

Malaysia merupakan pengantara bagi Thailand dan Kemboja dalam mencapai persefahaman serta penyelesaian yang turut mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS) dan China ketika mesyuarat di Putrajaya Julai lalu.

Gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja itu dicapai susulan konflik berlarutan di kawasan sempadan yang mengorbankan puluhan nyawa serta menyebabkan pemindahan besar-besaran penduduk awam, sekali gus mencetuskan kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap kestabilan Asia Tenggara.

Terdahulu pada tengah hari tadi, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta bagi menamatkan konflik bersenjata di sepanjang sempadan kedua-dua negara yang berlarutan hampir tiga minggu.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *