Malaysia Perkukuh Peranan Sebagai Pemangkin Diplomasi Serantau – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 2 Jun 2025. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 2 Jun – Malaysia memperkukuh peranan sebagai pemangkin dan peneraju diplomasi serantau menerusi Kepengerusian ASEAN 2025, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, Sidang Kemuncak ASEAN kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya Malaysia, sebagai Pengerusi, berjaya mempertemukan tiga benua gergasi iaitu Negara-negara Teluk atau Majlis Kerjasama Teluk (GCC), China dan ASEAN.
“Usaha dan upaya kita menjamin kelangsungan tamadun dan menyemarakkan ekonomi rakyat dan negara, selain merapatkan hubungan antara negara dalam pelbagai bidang yang punyai kepentingan bersama,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan sembah tahniah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 bersempena dengan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri berkata kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 itu serta penganjuran Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA) 2025 membuktikan semangat kerja berpasukan adalah kunci utama dalam merealisasikan hasrat dan cita-cita negara.
Tegasnya lagi, Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 akan menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi serta percambahan peluang pekerjaan.
“Ia bukan sekadar agenda pelancongan, tetapi juga merupakan manifestasi kecintaan terhadap tanah air, budaya dan warisan. Negara akan bersedia menerima kehadiran dunia dengan senyuman, keramahan dan semangat kekitaan yang tulus dari setiap rakyat,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

