Malaysia Mampu Capai Sasaran 400 Transaksi e-Pembayaran Lebih Awal – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan ketika majlis perasmian Boost Bank di MITEC, Kuala Lumpur. Foto Soya Cincau
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Malaysia mampu mencapai sasaran 400 transaksi e-pembayaran per kapita atau seorang lebih awal berbanding sasaran asal menjelang 2026, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi kehadiran bank digital yang akan memperhebatkan transformasi digital di negara ini.
Katanya, kehadiran bank digital memberi penerokaan baharu dari segi digital, malah ia juga memberi peluang kepada rakyat terutama mereka yang kurang mendapat akses perbankan dapat menikmati kemudahan perbankan dengan lebih mudah.
Jelasnya, selain menyediakan perkhidmatan tanpa tunai, dengan adanya bank digital memberi ruang yang lebih besar kepada penyertaan yang lebih ramai terhadap perkhidmatan perbankan.
“Sasaran yang ditetapkan ialah 400 transaksi per kapita (menjelang) 2026. Ini bukan sasaran yang tinggi dan sukar untuk dicapai. Saya jangka kalau kita ada asakan lebih kuat kita harus capai lebih awal.
“Justeru saya harap Boost Bank harus turun dan sebarkan kemudahan ini terutama manfaat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan juga rakyat kebanyakan. Ini baru memberi makna insklusif yang bermakna penyertaan ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran aplikasi Boost Bank dengan pengalaman ’embedded onboarding’ pertama yang kini dibuka untuk kegunaan awam.
- Oleh Mahanum Abdul Aziz
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

