Malaysia-Indonesia Komited Usul Kerjasama Ekonomi Baharu ASEAN, GCC – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Koordinator Bidang Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto (kiri) ketika hadir pada Dialog Strategi berkaitan ASEAN dan GCC di Riyadh, Arab Saudi. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 30 Apr – Malaysia-Indonesia komited mengusulkan kerjasama ekonomi baharu antara negara keahlian ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Ini bagi memperkukuh kolaborasi antara rantau khususnya dalam aspek perdagangan dan pelaburan.
Komitmen kedua-dua negara dizahirkan menerusi Dialog Strategi berkaitan ASEAN dan GCC yang menjadi antara agenda di bawah Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF), baru-baru ini.

Sesi yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Koordinator Bidang Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto bersama-sama wakil negara ASEAN dan GCC itu antara lain, membincangkan usaha meningkatkan momentum kerjasama dalam aspek pelaburan dan perdagangan.
Anwar turut mengetengahkan beberapa keutamaan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bermula 2025.
Usaha bagi melancarkan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza menerusi pengukuhan kerjasama GCC juga antara fokus perbincangan sesi dialog berkenaan.
Delegasi negara-negara yang mengambil bahagian pada dialog itu ternyata membuka ruang kepada kerjasama pelbagai hala bagi manfaat semua pihak.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
