MA63: Kerajaan Akan Muktamad 40 Peratus Hasil Sabah Esok – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Peluncuran Blok Bangunan Baharu Hospital Tawau pada 10 November 2025. Foto Instagram Anwar Ibrahim
TAWAU, 10 Nov – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri akan diadakan esok bagi memuktamadkan keputusan sama ada bakal mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan pemberian khas 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah.
Perdana Menteri turut menegaskan isu rombakan Kabinet tidak termasuk dalam agenda mesyuarat itu, sebaliknya tumpuan diberikan sepenuhnya kepada perbincangan dan keputusan mengenai langkah susulan terhadap keputusan mahkamah berkenaan.

“Seperti biasa, negara ini negara hukum. Ada proses yang perlu dilalui, maka kita dengar dahulu pandangan Peguam Negara sebelum memuktamadkan keputusan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian Jelajah Malaysia Digital di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, pendiriannya berhubung isu itu telah disampaikan sebelum ini, namun keputusan akhir hanya akan dibuat selepas mendengar penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jemaah Menteri.

“Bayangan pendirian saya telah saya sampaikan. Jadi, kita muktamadkan esok selepas berbincang dengan Jemaah Menteri,” katanya.
Mengulas mengenai peletakan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict, beliau memahami keresahan berhubung isu itu, bagaimanapun menyifatkan langkah itu dibuat terlalu awal.

“Dia (Ewon) tahu kita belum muktamadkan isu rayuan itu kerana secara proses biasa, mana-mana penghakiman peringkat Mahkamah Tinggi, terutama bila ada beberapa kelompongan, biasanya ada ruang untuk rayuan.
“Tetapi dalam kes ini, kerana mandamusnya melibatkan rundingan, mungkin ada ruang untuk pertimbangan lain. Pandangan peribadi saya lebih cenderung untuk elak daripada merayu itu sudah saya jelaskan,” katanya.

Anwar turut menegaskan kerajaan MADANI kekal komited dan lebih tegas dalam melaksanakan tuntutan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain memastikan peruntukan kepada Sabah lebih kukuh dan terjamin berbanding sebelum ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
