Limau Mandarin, Kurma Kini Dikecualikan Daripada SST – MOF

Kementerian Kewangan berkata pindaan tersebut berkuat kuasa 1 Julai ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu yang oren dan epal import tidak dicukaikan. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 27 Jun – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai kepada mandarin dan kurma sebagai antara barangan import tambahan tidak dikenakan cukai.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan hari ini, MOF memberitahu pindaan tersebut berkuat kuasa 1 Julai ini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rabu lalu yang oren dan epal import tidak dicukaikan.

“MOF ingin menggariskan bahawa kerajaan Madani tidak mengenakan cukai jualan ke atas barangan keperluan harian bagi meringankan tekanan kos sara hidup rakyat terbanyak.

“Barangan keperluan harian yang dikecualikan daripada cukai jualan ini sama ada dihasilkan dalam negara atau diimport termasuk beras, ayam, daging lembu, sayur sayuran dan telur.

“Ikan tempatan seperti selar, tongkol, cencaru dan sardin, sama ada dalam bentuk sejuk beku, sejuk dingin atau segar, juga akan terus dikecualikan,” menurut MOF menerusi kenyataan hari ini.

MOF sebelum ini berkata bahawa peluasan SST mulai 1 Julai, termasuk kadar 5% ke atas buah-buahan import, secara strategik bertujuan untuk mengukuhkan permintaan pertanian tempatan dan mengukuhkan keselamatan makanan.

“Kerajaan sentiasa meneliti dan mengambil kira maklum balas diterima daripada rakyat serta pihak industri terhadap peluasan skop SST yang dicadangkan.

“MOF menyeru semua pihak agar membuat kenyataan yang bertanggungjawab dan berpandukan maklumat rasmi berhubung pelaksanaan SST. Orang awam disarankan untuk merujuk pengumuman awam, infografik, perundangan subsidiari, garis panduan, dan soalan lazim (FAQ) yang diterbitkan menerusi saluran rasmi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” kata kenyataan itu.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *