PM Anwar Tiba Di Indonesia Mulakan Lawatan Rasmi, Ketemu Presiden Prabowo

Ketibaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma jam 12.57 tengah hari waktu tempatan disambut Presiden Indonesia, Prabowo Subianto. Foto Facebook Anwar Ibrahim
JAKARTA, 27 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan rasmi ke Indonesia.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri serta delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma (HLP) di Jakarta Timur pada kira-kira 12.57 tengah hari waktu tempatan (1.57 petang waktu Malaysia) dan ketibaan Perdana Menteri disambut oleh Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Lawatan itu diadakan ketika Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN untuk 2025, dengan Kuala Lumpur terus menerajui agenda utama serantau sepanjang tahun.
Dalam perjumpaan dengan Prabowo, Anwar dijangka membincangkan isu-isu dua hala utama, susulan penglibatan ASEAN baru-baru ini, di samping meneroka agenda bagi mengukuhkan kestabilan serantau ketika Malaysia dan Indonesia meningkatkan lagi kerjasama strategik mereka.

Di Istana Merdeka, Perdana Menteri yang disambut oleh Prabowo diberi penghormatan memeriksa barisan kehormatan oleh Pasukan Keselamatan Presiden, sebelum majlis sambutan diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan.
Kedua-dua pemimpin kemudiannya saling memperkenalkan menteri Kabinet masing-masing, diikuti sesi bergambar dan menandatangani buku pelawat.

Menteri-menteri Kabinet yang menganggotai delegasi dari Malaysia terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Program diteruskan dengan pertemuan empat mata antara Anwar dan Prabowo, sebelum disusuli dengan mesyuarat dua hala lanjutan yang melibatkan menteri dari kedua-dua negara.

Mesyuarat itu dijangka memberi tumpuan kepada perdagangan, pelaburan, pendidikan, komunikasi, komoditi, dan hal ehwal serantau, selaras dengan portfolio menteri yang diwakili dalam delegasi Malaysia.
Lawatan itu juga adalah sebahagian daripada persiapan untuk Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-13, yang dijadualkan berlangsung akhir tahun ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
