Lima Pelancong Maut Helikopter Terhempas Di Tengah Nepal

Helikopter Air Dynasty sedang menuju ke Syabrubesi, titik permulaan untuk banyak laluan trekking yang popular dengan pelancong, dari ibu kota Kathmandu ketika terhempas. Foto Agensi

KATHMANDU, 7 Ogos – Sebuah helikopter terhempas di tengah Nepal hari ini, mengorbankan semua lima individu di dalamnya, termasuk juruterbang dan empat pelancong China.

Nepal mempunyai rekod prestasi yang malang dalam keselamatan penerbangan dan republik Himalaya itu menyaksikan siri pesawat ringan serta helikopter terhempas yang meragut nyawa selama beberapa dekad.

Helikopter Air Dynasty sedang menuju ke Syabrubesi, titik permulaan bagi banyak laluan trekking popular dalam kalangan pelancong, dari ibu kota Kathmandu.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam dalam kenyataan, berkata helikopter itu terputus hubungan kira-kira tiga minit selepas berlepas dan terhempas di daerah Nuwakot di utara ibu negara berkenaan.

Katanya, satu lagi helikopter segera dihantar ke lokasi kemalangan untuk menyelamat.

“Semua lima penumpang, termasuk juruterbang maut,” kata jurucakap polis, Dan Bahadur Karki kepada AFP.

Pegawai daerah Nuwakot, Ram Krishna Adhikari, berkata lima mayat sudah dibawa dari lokasi kemalangan.

“Ia terhempas di kawasan hutan di lereng bukit. Kami belum tahu puncanya atau bagaimana ia berlaku,” katanya dari lokasi nahas.

Adhikari berkata, anggota polis dan tentera dihantar selepas penduduk tempatan memaklumkan mengenai nahas dan kebakaran di lokasi.

Industri udara Nepal berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, membawa barangan dan orang ramai ke kawasan yang sukar dicapai, selain pengembara dan pendaki asing.

Bagaimanapun, ia dibelenggu oleh tahap keselamatan yang lemah akibat latihan dan penyelenggaraan yang tidak mencukupi, ditambah dengan geografi berbahaya Nepal yang bergunung-ganang. – AFP


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *