Lima Laluan Ditutup Sempena Penamaan Calon PRK KKB

Petugas SPR giat melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon esok ketika tinjauan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Selangor di Dewan Serbaguna dan Komplek Sukan Daerah Hulu Selangor hari ini. Foto Bernama

HULU SELANGOR, 26 Apr – Lima laluan jalan raya di sekitar Kuala Kubu Baharu akan ditutup sementara dan dilencongkan bagi melancarkan proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) esok.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata jalan yang terlibat bagi penutupan sementara itu ialah Jalan Merdeka, Jalan Abdul Hamid, Jalan Dato Muda Jaafar, Jalan Mat Kilau dan Jalan Kamarudin.

“Penutupan sementara jalan sempena hari penamaan calon pada esok bermula pada 12.01 tengah malam (27 April) hingga selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan penutupan sementara itu, pengguna boleh menggunakan laluan alternatif lain seperti Jalan Kubu, Jalan Dato Tabal, Jalan Rasathurai, Jalan Dato Balai, Jalan Syed Masyor dan Jalan Pahang.

Petugas SPR giat melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon esok ketika tinjauan di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.06 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, Selangor di Dewan Serbaguna dan Komplek Sukan Daerah Hulu Selangor hari ini. Foto Bernama

Menurutnya pengguna dinasihatkan supaya mematuhi arahan penutupan jalan dan lencongan itu yang dibuat bagi melancarkan aliran trafik.

Proses penamaan calon bagi PRK berkenaan dijadual berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor bermula 9 pagi.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat barah.

Biodata calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao yang disiarkan sejurus selepas pengumuman calon sebentar tadi. Foto Facebook DAP Malaysia

Pakatan Harapan (PH) mengumumkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan ialah Pang Sock Tao manakala Perikatan Nasional (PN) bakal diwakili Khairul Azahari Saut.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *