Lelaki Syria Ditahan Cuba Lempar Bom Molotov Ke Kedutaan Israel

Pasukan khas antikeganasan Polis Romania melakukan kawalan ke atas apartmen yang menempatkan Kedutaan Israel di Burcharest susulan kejadian bom molotov pada Isnin. Foto AP
BURCHAREST, 4 Jun – Seorang warga asing ditahan di ibu negara Romania pada Isnin selepas didakwa menyerang pintu masuk Kedutaan Israel dengan bom molotov, menyebabkan kebakaran kecil tetapi tiada kemalangan jiwa, lapor media tempatan dan polis.
Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan pegawai antikeganasan dari Perkhidmatan Perisikan Romania sebelum polis tiba di tempat kejadian, kata polis di Bucharest, sambil menambah bahawa suspek didakwa juga cuba membakar dirinya.
Media tempatan melaporkan bahawa suspek adalah warga Syria. Jurucakap polis memberitahu saluran berita tempatan Digi24 bahawa insiden itu didorong oleh masalah peribadi dan bukan disebabkan perang berterusan Israel ke atas Palestin di Semenanjung Gaza.

Kedutaan Israel mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan rasmi sambil mengatakan bahawa apabila pegawai keselamatan mendekati suspek “dia mengeluarkan bom molotov, menyalakannya dan melemparkannya ke arah pintu masuk ke lobi bangunan”.
Duta Israel ke Romania, Reuven Azar, mengecam insiden itu dalam satu kenyataan video yang dikeluarkan Isnin, mengatakan bahawa “keganasan tidak mengenal sempadan” dan melabelkan suspek sebagai “pelampau ganas” yang sedang disoal siasat oleh polis Romania.
“Saya mahu anda yakin bahawa kami selamat, kami masih utuh,” katanya, sambil menambah bahawa Israel mahupun Romania “tidak akan menyerah kepada keganasan.”

Kedutaan itu mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan dan polis Romania atas “tindak balas yang pantas dan cekap.”
Polis berkata, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti keadaan kejadian.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
