Lelaki Maut Motosikal Rempuh Kereta Dari Belakang

Mangsa melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada di laluan yang sama.
PENAMPANG, 6 Jun – Seorang lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Kobusak di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 pagi apabila mangsa berusia 24 tahun yang menunggang motosikal dari arah pusat bandar menuju ke arah Donggongon.
Katanya, mangsa melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada di laluan yang sama.
“Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya dan melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda lalu tercampak ke atas jalan.
“Mangsa yang juga warga tempatan dan berasal dari Kota Belud, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) yang hadir ke tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik HQE I untuk bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, pemandu kereta iaitu lelaki tempatan berusia 53 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai diingat agar sentiasa berhati-hati semasa memandu dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

