Lebih Dua Bulan Tak Bertentang Mata, Akhirnya Bertemu Jua

Kamal berkata, hari ini adalah kali pertama beliau bertentang mata dengan Uqasha selepas lebih dua bulan tidak berjumpa.
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Setelah lebih dua bulan, Uqasha Senrose, 33, tampil tenang dan tersenyum ketika hadir pada jam 9.30 pagi tadi di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, bagi sebutan ketiga permohonan cerai difailkannya terhadap suami yang juga pelakon, Kamal Adli.
Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, tiba sekitar jam 9.34 pagi bersama peguamnya, Abdul Hadi Mohamad Salleh.
Menurut Kamal, hari ini adalah kali pertama beliau bertentang mata dengan Uqasha selepas lebih dua bulan tidak berjumpa.

Manakala Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen yang mengenakan jubah hitam turut ditemani ibunya, Rosmizah Mohd Noor serta adiknya, Datin Nelydia Senrose.
Mengakui kekal dengan keputusan untuk berpisah, Uqasha hanya memohon agar segala urusan dipermudahkan.
“Doakan yang baik-baik ya semua. Terima kasih,” katanya ringkas sebelum melangkah masuk ke ruang lobi mahkamah bersama peguam syarie, Muhammad Syazmee.
Kamal kelihatan tenang ketika melalui proses hari ini, walaupun lebih dua bulan kemelut rumahtangga mereka belum terungkai.

“Ini kali pertama jumpa dia selepas dua bulan lebih tak berjumpa. Saya harap ada penyelesaian yang baik. Saya tak tahu nak cakap apa sebab kami tak berjumpa dan tidak berbincang.
“Buat masa ini, komunikasi hanya melalui peguam,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
