PMQT: Guna Aset Kerajaan Di Sabah Atas Pertimbangan Keselamatan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 18 November 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 18 Nov – Dakwaan sesetengah pihak yang menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan aset serta kemudahan kerajaan bagi tujuan kempen sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17, adalah tidak berasas.
Sebaliknya Perdana Menteri menegaskan, semua program yang dihadirinya di Sabah adalah program kerajaan yang sudah dijadualkan lebih awal, sementara sebarang aktiviti berkaitan kempen PRU Sabah dilakukan sepenuhnya di bawah platform parti.

Ini termasuk isu dibangkitkan penggunaan kenderaan rasmi kerajaan, seraya berkata ia bukan suatu pilihan, sebaliknya kewajipan atas faktor keselamatan.
“Kalau macam tu saya nak guna mobil (kenderaan) mana… (Guna kenderaan) kerajaan, itu kelonggaran.
“PM (Perdana Menteri) kena guna pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi dalam apa program sebab pertimbangan sekuriti (keselamatan),” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai penggunaan aset kerajaan ketika Anwar berkempen sempena PRN Sabah, baru-baru ini.
Penjelasan Anwar ini menepati garis panduan yang beliau sendiri tetapkan iaitu melarang program kempen parti melibatkan mana-mana agensi atau institusi kerajaan.
Memberi contoh satu program bersama mahasiswa yang dijadual diadakan di universiti, katanya beliau sendiri mengarahkan ia dibatalkan ditukar tempat.

“Ada satu program bersama mahasiswa iaitu Temu Anwar dan dibuat di universiti…. saya batalkan dan tukar tempat.
“Ini kerana saya tidak mahu universiti secara rasmi terbabit menganjurkan program Anwar untuk bertemu dengan anak muda,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
