Lawatan PM New Zealand Ke Malaysia Minggu Depan Tumpu Eratkan Hubungan Strategik

Perdana Menteri Christopher Luxon bercakap semasa pengumuman kabinet baharu New Zealand di Banquet Hall of the Parliament Buildings di Wellington, 24 November 2023. Foto EFE/EPA/MARK COOTE AUSTRALIA AND NEW ZEALAND OUT
KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia minggu depan, menandakan langkah penting dalam mengukuhkan hubungan yang sedia teguh antara kedua-dua negara.
Semasa lawatannya, Luxon akan bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneroka peluang baharu dalam mengeratkan hubungan dua hala dengan tumpuan khusus untuk mengembangkan kerjasama perdagangan, pelaburan, dan pertahanan.
Luxon, 54, menekankan bahawa Malaysia adalah rakan yang kuat di pentas dunia, penting untuk kemakmuran dan keselamatan New Zealand.

“Lawatan rasmi pertama saya ke Malaysia menunjukkan komitmen New Zealand untuk membina hubungan dengan satu daripada rakan lama kami di Asia Tenggara dan mengembangkan kerjasama dalam bidang baharu.
“Saya tidak sabar untuk bertemu semula dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan membuka pintu kepada lebih banyak peluang untuk perniagaan New Zealand,” menurutnya dalam kenyataan yang disiarkan di Beehive.govt.nz, laman sesawang rasmi Kerajaan New Zealand pada Isnin (26 Ogos).
Luxon mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada November 2023 dan dilaporkan menyatakan bahawa keutamaan utamanya adalah untuk meningkatkan ekonomi negara pulau itu.
“Malaysia dan New Zealand adalah rakan kongsi pertahanan yang mantap, dan kami bekerjasama dalam menangani cabaran keselamatan serantau termasuk jenayah rentas sempadan.
“Malaysia juga merupakan rakan dagang dua hala kesembilan terbesar kami. Lawatan ini memberi peluang untuk memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan serta menyokong hubungan kukuh antara rakyat kami melalui pendidikan dan pelancongan,” katanya.
Luxon akan mengadakan lawatan ke Malaysia dan Korea minggu depan, diiringi delegasi perniagaan kanan.
Selain delegasi perniagaan, Perdana Menteri juga akan ditemani oleh Menteri Negara Perdagangan Nicola Grigg dan Menteri Pembangunan Ekonomi, Melissa Lee.
PM Anwar Terima Kunjungan Hormat TPM New Zealand Di Putrajaya
Pada Jun tahun ini, media melaporkan bahawa semasa kunjungan hormat oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar New Zealand, Winston Peters di Putrajaya, Anwar mengalu-alukan lawatan rasmi Luxon pada awal September.
Malaysia dan New Zealand menjalinkan hubungan diplomatik pada 25 September 1957, dan hubungan itu kekal kukuh dan stabil.
Malaysia secara konsisten menerima peningkatan jumlah pelancong dari New Zealand setiap tahun, dengan 18,238 rakyat New Zealand melawat Malaysia pada 2022.
Selain itu, lebih 17,000 rakyat Malaysia menetap di New Zealand.
Malaysia, New Zealand Zahir Komitmen Perkasa Kerjasama Pelbagai Bidang – PM Anwar
Di rantau Pasifik, Malaysia ialah rakan dagangan kedua terbesar New Zealand, dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (US$1.46 bilion) setakat Jun 2023.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
