TPM New Zealand Tiba Mulakan Lawatan Ke Malaysia

Foto arkib pertemuan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Winston Peters pada 27 Mac 2019 di Bangunan Parlimen Kuala Lumpur. Foto Facebook Anwar Ibrahim

SEPANG, 6 Jun – Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Winston Peters tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pukul 5.30 petang.

Kunjungan beliau dan delegasi di Malaysia merupakan sebahagian daripada lawatan ke empat negara Asia Tenggara.

Ketibaan Peters yang juga merangkap Menteri Luar New Zealand, disambut Ketua Protokol Kementerian Luar Datuk Mohd Aini Atan dan Duta Besar New Zealand ke Malaysia, Pam Dunn.

Dalam rangka lawatan empat hari, Peters dijadual bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengadakan Mesyuarat Menteri Luar yang julung kali diadakan di bawah Perkongsian Strategik New Zealand-Malaysia.

Menurut laman sesawang rasmi Kerajaan New Zealand, Beehive.govt.nz, Peters memasuki Parlimen New Zealand pada tahun 1978 sebagai Ahli Parlimen (MP) bagi kawasan Hunua dengan National Party.

Timbalan Perdana Menteri New Zealand Winston Peters dijangka tiba di Malaysia pada Khamis (6 Jun), sebagai sebahagian daripada lawatan beliau ke empat negara Asia Tenggara. Foto Facebook Winston Peters

Ahli politik New Zealand yang terkenal itu meninggalkan National Party pada tahun 1993 dan menubuhkan parti New Zealand First, di mana beliau memegang jawatan kepimpinan sejak itu.

Selain daripada peranan politiknya, Peters juga berkhidmat sebagai ‘Minister for Racing’. Beliau juga mempunyai latar belakang dalam bidang sukan, pernah menjadi wakil ragbi Maori New Zealand.

Malaysia merupakan negara kedua dilawatinya selepas Vietnam pada 5 Jun dan kemudian meneruskan lawatannya ke Filipina dan Timor Leste.

  • Oleh Sazswani Samsu


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *