Laporan Interim Nahas Helikopter Terhempas Disediakan Secepat Mungkin

Helikopter TLDM yang terbabit dalam nahas ketika menjalani raptai sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pagi tadi. Foto Bernama
LUMUT, 23 Apr – Laporan interim berhubung nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak akan disediakan secepat mungkin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun tidak menetapkan sebarang had masa bagi proses penyediaan laporan berkenaan.
Beliau juga meminta orang ramai tidak menularkan sebarang video berkaitan nahas terbabit sebagai menghormati sensitiviti, terutama keluarga mangsa, selain menasihati supaya tidak mengganggu siasatan kes berkenaan.
“Saya bagi pihak Kementerian Pertahanan secara peribadi mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban ketika menjalani raptai sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pagi tadi.

“Kementerian bersetuju menubuhkan lembaga siasatan TLDM bgi kenal pasti punca kejadian, selain saya dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ke Lumut bagi melihat dan mendapatkan maklumat serta laporan di lokasi kejadian.
“Kita mungkin adakan pertemuan dengan keluarga mangsa yang tinggal di situ, selain beberapa keluarga mangsa yang menetap di Sabah akan dibawa ke Lumut menaiki kapal terbang TUDM,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah dimaklumkan bahawa satu siasatan segera akan dijalankan Kementerian Pertahanan khususnya TLDM untuk mencari punca nahas tersebut.
Katanya, negara berdukacita dengan tragedi yang menyayat hati dan meruntun jiwa membabitkan nahas dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut hari ini.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dengan doa agar diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
