Laluan Gua Musang-Lojing Hanya Dibuka Satu Lorong

Keadaan laluan di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan ditutup satu lorong akibat lubang benam. Foto JKR Gua Musang

GUA MUSANG, 28 Ogos – Pembentukan sebuah lubang benam baharu yang dikesan di laluan di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke di sini pada 7 Ogos lalu menyebabkan laluan tersebut hanya boleh diguna satu lorong.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri Kelantan, Ir. Nik Soh Yaacoub berkata, kejadian lubang benam itu dikesan sebelum keadaan menjadi semakin teruk akibat cuaca hujan yang berterusan.

“Berdasarkan laporan pihak JKR Gua Musang terdapat lubang benam baharu pada lokasi yang sama sepanjang 15 meter dan kedalaman 3.1 meter.

Keadaan laluan di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan ditutup satu lorong akibat lubang benam. Foto Aimuni Tuan Lah

“Dalam kejadian lubang benam sebelum ini, tindakan sudah diambil apabila pihak konsesi membaiki lubang benam terbabit, namun pada 7 Ogos lalu mereka mengesan terdapat lubang benam baharu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Nik Soh berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan kegagalan pembetung dan kejadian itu dipercayai akibat terdapat punca air pada tepi pembetung berkenaan.

“Jalan situ terdapat empat lorong. Satu lorong ditutup dan satu lorong dibuka dari arah Lojing menghala ke Gua Musang. Manakala kedua-dua lorong dari Gua Musang ke Lojing dibuka sepenuhnya.

Keadaan laluan di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan ditutup satu lorong akibat lubang benam. Foto JKR Gua Musang

“Keluasan kawasan mendapan semakin besar dan JKR telah melaksanakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di kawasan berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo menasihatkan pengguna berhati-hati menggunakan laluan itu pada waktu malam.

Terdahulu, pada 23 November tahun lalu, lubang benam sedalam enam meter dilaporkan berlaku di Kilometer 78, Jalan Gua Musang-Lojing menyebabkan laluan dari arah Lojing terpaksa ditutup satu lorong.

Seterusnya pada 12 Disember tahun lalu, lubang benam kedua dengan kedalaman sembilan meter berlaku di lokasi sama pada jarak lima meter dari lubang benam pertama.

Selain itu pada 15 Mac lalu satu lagi lubang benam, iaitu yang ketiga sejak November tahun lalu dilaporkan berlaku di lokasi sama.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *