Lagenda Liverpool Jadi Rebutan Kelab Liga Perdana Inggeris

Firmino kini diintai beberapa kelab Liga Perdana Inggeris setelah tidak mempamerkan prestasi cemerlang di Arab Saudi. Foto Arkib
LONDON, 5 Jan – Beberapa kelab Liga Perdana Inggeris dilaporkan mendapat tawaran untuk menandatangani legenda Liverpool, Roberto Firmino.
Pemain Brazil itu menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Ahli pada musim panas lalu selepas lapan tahun berkhidmat di Anfield.
Firmino bermula cemerlang dengan meledak hatrik pada perlawanan pertamanya di Timur Tengah, tetapi kemarau jaringan dalam 18 penampilan berikutnya.
Dia turut berduka di atas kematian bapanya yang terkena serangan jantung ketika percutian bersama keluarga pada November.
Dengan pemain 32 tahun itu mahu mencari jalan keluar dari Al-Ahli, Fulham antara pasukan Liga Perdana Inggeris yang ditawarkan untuk menandatangani Firmino.
Sheffield United juga menunjukkan minat sebelum Paul Heckingbottom dipecat sebagai pengendali kelab itu.

Fulham mencari penyerang berpengalaman sejak perpindahan Aleksandar Mitrovic ke Arab Saudi bersama Al-Hilal.
Firmino memenangi kesemua kejuaraan ketika bersama Liverpool, dan membentuk trio hadapan paling prolifik dalam era Liga Perdana Inggeris bersama Mohamed Salah serta Sadio Mane.
Dia membuat 362 penampilan untuk The Reds dari tahun 2015 sehingga tahun lalu dan meledak 111 gol.
Firmino dan rakan senegara Brazil, Fabinho membuatkan penyokong Liverpool teruja apabila kembali ke Anfield pada Tahun Baru untuk menyaksikan kemenangan 4-2 ke atas Newcastle.
– AGENSI
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
