Kula Oh Kula: Pemimpin DAP Bantah Tindakan Kulasegaran Jumpa Arun Di Mahkamah

Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali; Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid membantah tindakan Kulasegaran pada 18 Mac 2026.
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Beberapa pemimpin DAP tidak bersetuju dengan tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran bertemu pelampau, Arun Dorasamy di Kompleks Mahkamah Jawi, Pulau Pinang, semalam.
Perkara itu dimaklumkan tiga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali; Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Menerusi kenyataan bersama hari ini, mereka mengakui tindakan Kulasegaran yang juga veteran DAP itu mencetuskan polemik awam terutama membabitkan integriti sistem perundangan negara.
“Kami sama sekali tidak bersetuju dengan kehadiran Kulasegaran bertemu Arun ketika aktivis terbabit didakwa di mahkamah terutama apabila beliau sedang menggalas kapasiti sebagai seorang Timbalan Menteri Kerajaan MADANI.
“Kami ambil maklum mengenai penjelasan Kulasegaran berhubung isu ini, namun kedudukan beliau dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan lebih tinggi terhadap persepsi awam.
“Ini terutama berkaitan prinsip keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat dilapor menjelaskan beliau hanya ‘singgah sekejap’ untuk bertemu Arun di Kompleks Mahkamah Jawi, bukannya dalam bilik mahkamah.
“Saya singgah di mahkamah untuk bercakap dengan Arun mengenai kepercayaan terhadap proses undang-undang sementara beliau bersedia berdepan prosiding akan datang,” katanya.
Arun didakwa di Mahkamah Majistret Jawi atas tuduhan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.
Arun atau nama sebenar Arumugam Dorasamy, 56, didakwa membuat kenyataan menyalahi undang-undang menerusi video dimuat naik di akaun Instagramnya, @arun_dorasamy, di Ikea Batu Kawan, Pulau Pinang, kira-kira jam 3.45 petang, pada 12 Mac 2025.
Empat pemimpin Melayu DAP itu juga menegaskan parti berkenaan tidak pernah membuat sebarang keputusan rasmi bagi menyatakan sokongan atau kecenderungan terhadap kes membabitkan Arun.
Justeru, kata mereka, sebarang tindakan solidariti terhadap individu terbabit tidak mewakili pendirian parti.
“DAP perlu mengambil pendekatan seimbang dengan mempertahankan prinsip keadilan, termasuk konsep ‘tidak bersalah hingga dibuktikan sebaliknya’, sambil menghormati proses undang-undang.
“Selain itu, mengelakkan sebarang tindakan boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau berat sebelah,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
