Kuasa Yang Diamanah, Diguna Untuk Tuntut Semula Duit Diambil Secara Haram – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Permatang Pauh pada 19 Julai 2025.

PERMATANG PAUH, 19 Jul – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kuasa yang diamanahkan kepadanya digunakan untuk menuntut semula wang yang diambil secara haram untuk dipulangkan semula kepada rakyat.

Ketegasan Perdana Menteri itu dizahirkan ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang hari ini.

Meskipun menyedari sentimen untuk menjatuhkan dirinya semakin lantang disuarakan sesetengah pihak, namun Perdana Menteri menegaskan, apa yang dilakukan tidak bermakna beliau tidak berada di landasan rakyat.

Beliau menempelak pihak yang mengumpul kekayaan dengan cara salah perlu mengembalikan semula kepada negara apatah lagi negara kini menanggung hutang yang cukup besar dan sekiranya tidak dibayar kelak akan mengalami bankrap.

“Tengok ada (orang kaya) yang mengumpul harta mengucap panjang… semua bilion-bilion. Ada (anak kepada bekas pemimpin) yang isytihar kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) hartanya melebihi RM1 bilion.

“Nak kata pejuang untuk Melayu? silakan, nak beli nasib Melayu? teruskan. Tapi, kalau kau ambil RM1 bilion, bagilah balik.

“Orang kata saya guna kuasa, ya memang betul saya nak guna peluang ini (sebagai Perdana Menteri) wang yang diambil secara haram mesti dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, bukan Malaysia sahaja berdepan situasi ketidaktentuan ekonomi namun seluruh dunia, tetapi ia mampu ditangani dengan kestabilan politik yang kukuh.

“Siapakah kita (Malaysia) tak ada masalah? Satu dunia ada masalah sekarang (ekonomi tidak stabil). Ini saya bukan (cakap) atas dasar sentimen (kerana) orang maki hamun saya setiap hari, kerana itu kerja mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas MADANI dan Projek Perumahan JKPSB di Permatang Pauh pada 19 Julai 2025.

“Cakap saya zalim menindas rakyat (mengenai cukai) sedangkan apa dilakukan atas sebab dasar. Tengok saya kenakan (kenaikan) elektrik 15 peratus tertinggi, industri ini syarikat besar ada keuntungan besar, jadi bayarlah lebih sikit, yang kamu susah hati sebab apa.

“Bagaimana (nak cari dana untuk pendidikan, penyediaan pekerjaan lebih baik) kalau tidak dari cukai, itu pun cukai untuk orang kaya, mengapa perlu bising. Hutang negara besar, kalau tak bayar nanti bankrap,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, hampir tiga tahun beliau menjadi Perdana Menteri sehingga kini masih tidak mengambil gaji yang jika dicampur keseluruhannya bernilai jutaan ringgit.

“Saya tak ambil gaji sebab apa, bukan saya miskin. Elaun Parlimen saya ambil, cukuplah banyak lagi (orang yang susah).

“Lagipun semua perjalanan, naik pesawat daripada Kuala Lumpur adalah pesawat kerajaan. Naik helikopter, pesawat kerajaan.

“Kalau nak campur semua gaji, elaun sebagai Pengerusi Khazanah rasa ada dalam RM3 ke RM4 juta, tetapi saya tak ambil, bukan cakap saya bagus tetapi cukuplah jaga rakyat yang lain,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *