Krisis Tenaga Global: PM Anwar Arah Kerajaan Negeri Selaras Tindakan Dengan Persekutuan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di Putrajaya pada 2 April 2026. Foto X Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 2 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, setiap tindakan di peringkat kerajaan negeri berikutan kesan konflik di Asia Barat perlu diselaraskan dengan Kerajaan Persekutuan.

Menerusi perkongsian di media sosial selepas mempengerusikan mesyuarat khas di sini hari ini, Perdana Menteri berkata, pendekatan itu perlu berasaskan kepada data serta realiti semasa, supaya setiap pimpinan negeri dapat bertindak secara selari, bersepadu dan berpaksikan fakta bersama Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata ia termasuk memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara sentiasa terjamin dalam sebarang keadaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat khas bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri di Putrajaya pada 2 April 2026. Foto X Anwar Ibrahim

Katanya Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri hari ini menjadi wadah penting untuk meneliti secara menyeluruh perkembangan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

“Dalam kerangka ini, kerajaan menggerakkan perancangan senario yang teliti dan menyeluruh bagi mendepani pelbagai kemungkinan, termasuk memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan,” katanya.

Anwar berkata, fokus Kerajaan MADANI kekal tegas dan tidak berganjak, memastikan kestabilan bekalan, membendung tekanan kenaikan harga serta melindungi rakyat daripada kesan langsung krisis ini.

Tegasnya, setiap langkah dilaksana dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan, dengan keutamaan jelas untuk menjaga kebajikan rakyat melalui inisiatif sokongan yang bersasar dan berkesan.

“Dalam masa sama, libat urus strategik bersama semua pemegang taruh termasuk pihak industri dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus diperkukuh supaya setiap pendekatan bersifat menyeluruh, seimbang dan berimpak tinggi.

“Semangat kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri kekal menjadi teras utama, dan saya yakin Malaysia akan terus teguh, berdaya tahan serta mampu melindungi rakyat dalam apa jua keadaan,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *