Konflik Asia Barat: Pelbagai Senario Dinilai KDN Perkukuh Siap Siaga – Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution Ismail ketika Mesyuarat Strategik Kesan Konflik AS-Iran bagi meneliti perkembangan konflik semasa di Putrajaya pada 2 April 2026. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
PUTRAJAYA, 2 Apr – Ekoran konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menyaksikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menilai pelbagai kemungkinan dan senario yang berpotensi berlaku yang memberi impak kepada negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ini termasuk kesan terhadap keselamatan dalam negara, pergerakan rentas sempadan, kestabilan ekonomi domestik serta kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan.

“Pagi ini saya duduk mempengerusikan mesyuarat bersama pengurusan KDN dan agensi di bawah KDN dalam Mesyuarat Strategik Kesan Konflik AS-Iran bagi meneliti perkembangan konflik ini yang semakin mendapat perhatian dunia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Beliau menegaskan keutamaan kementerian adalah memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

“Keutamaan kita jelas, iaitu memastikan keselamatan negara terus terpelihara, dan rakyat Malaysia dilindungi daripada sebarang ketidaktentuan luar,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata perkembangan konflik itu secara tidak langsung memberi kesan kepada keadaan global khususnya melibatkan rantaian bekalan tenaga dan ketidaktentuan ekonomi antarabangsa yang turut dirasai oleh banyak negara, termasuk Malaysia.
“Setiap saranan dan hala tuju yang digariskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diterjemahkan melalui pendekatan strategik dan berpandangan jauh agar negara sentiasa bersedia menghadapi sebarang perkembangan global,” katanya.
Semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan berkata bahawa beliau mahu semua pihak tidak mengambil enteng impak konflik yang berlarutan di Asia Barat.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu susulan serangan Israel dan AS ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


