Krisis Asia Barat: Kerajaan Pantas Serap Impak, Lindungi Rakyat Malaysia

Petikan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya pada 11 Mac 2026. Foto Kementerian Kewangan
PUTRAJAYA, 11 Mac – Kenaikan mendadak harga minyak global sejak perang Iran-Amerika Syarikat pantas diserap kerajaan apabila harga runcit petrol dan diesel di pam di Malaysia akan diselaras selari dengan pergerakan harga minyak di pasaran global.
Penyelarasan terbaru ini diumumkan bagi menangani kesan ketidaktentuan pasaran yang sedang berlaku kini.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, kenaikan harga bahan api ini berlaku secara langsung susulan lonjakan harga minyak dunia akibat konflik di Asia Barat berikutan serangan ke atas Republik Islam Iran.

Pada 9 Mac 2026, harga minyak Brent dilaporkan telah mencecah paras AS$119 setong sebelum kembali turun ke sekitar AS$90 setong, namun keadaan pasaran didapati kekal tidak menentu.
Sehubungan dengan situasi berkenaan, harga pam RON95 dan RON97 dinaikkan sebanyak 60 sen seliter, manakala harga pam diesel di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 80 sen seliter.
Harga runcit baharu tanpa subsidi bagi RON95 kini adalah RM3.27 seliter, RON97 pada RM3.85 seliter, dan diesel di Semenanjung Malaysia pula ditetapkan pada RM3.92 seliter bagi tempoh 12 Mac hingga 18 Mac 2026.
Menyedari impak penyelarasan berkenaan, Kementerian Kewangan menegaskan bahawa kerajaan akan terus melindungi rakyat Malaysia.
“Inisiatif subsidi bersasar BUDI MADANI serta bantuan tunai tambahan digerakkan bagi menampan kesan kenaikan pasaran minyak dunia.
“Bagi memastikan rakyat terus dilindungi sepenuhnya daripada impak kenaikan produk petroleum berkenaan, kerajaan bertindak mengekalkan harga bersubsidi RON95 untuk rakyat pada paras RM1.99 seliter melalui inisiatif BUDI95,” katanya.
Langkah proaktif ini membolehkan rakyat kekal terlindung sepenuhnya daripada kadar pasaran.
Dalam usaha mengekang kesan ke atas rantaian harga barangan pengguna, impaknya berjaya diminimumkan apabila harga bersubsidi diesel bagi sektor pengangkutan barangan di Semenanjung Malaysia dikekalkan pada harga RM2.15 seliter.
Sektor pengangkutan darat awam turut menerima manfaat berterusan apabila harganya dilindungi pada paras RM1.88 seliter.
Selain itu, rakyat di wilayah Sabah dan Sarawak juga terus terpelihara daripada kesan pelarasan harga ini.
Pemilik kenderaan diesel individu dan sektor pertanian di wilayah berkenaan langsung tidak terjejas memandangkan harga bersubsidi diesel untuk mereka terus dikekalkan pada kadar RM2.15 seliter.
Kerajaan turut memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial dengan menaikkan bantuan tunai bagi tempoh interim kepada pengguna kenderaan diesel yang layak di bawah BUDI Diesel Individu dan Budi Diesel Agri-Komoditi.
Jumlah bantuan tunai berkenaan ditingkatkan daripada RM200 kepada RM300 khusus untuk bulan Mac 2026.
Bantuan kewangan tambahan ini dijangka memberi kelegaan segera kepada golongan sasaran yang mungkin terkesan oleh situasi pasaran.
Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa pembayaran tambahan sebanyak RM100 berkenaan akan mula disalurkan kepada penerima bermula 17 Mac 2026.
Tadbir urus bertanggungjawab
Dalam memperkukuhkan komitmen kerajaan terhadap urus tadbir ekonomi yang bertanggungjawab berasaskan prinsip akauntabiliti, Kementerian Kewangan menegaskan secara rasmi pendirian mereka di dalam dokumen berkenaan:
“Kerajaan kekal komited untuk mengimbangi perlindungan kepada rakyat dengan kebertanggungjawaban fiskal dalam pengurusan subsidi negara.
“Pada masa sama, bagi memastikan inisiatif ini tidak disalah guna, pihak berkuasa akan terus mempertingkatkan usaha penguatkuasaan di pelbagai peringkat.

“Tindakan penguatkuasaan tegas ini adalah untuk membendung masalah ketirisan serta mencegah penyalahgunaan bahan api bersubsidi, terutamanya memandangkan harganya di Malaysia masih kekal lebih rendah berbanding negara jiran,” katanya.
Pada asasnya, walaupun harga bahan api terpaksa diselaraskan bagi mencerminkan realiti pergerakan pasaran global, inisiatif perlindungan ini diteruskan secara mampan.
Kerajaan Persekutuan akan terus menanggung sebahagian besar subsidi bagi meredakan kesan kenaikan harga pasaran kepada seluruh lapisan rakyat selari dengan nilai ihsan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web





