KPM Serah Kepada Pihak Berkuasa Kes Guru Wanita Dipukul Rakan Sekerja – Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek beramah mesra dengan para pelajar Orang Asli pada Majlis Peluncuran Bahan Enhancing Reading Through Digital Text (ERDT) Bawah Program Literasi Untuk Murid Orang Asli Dan Pribumi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, Gua Musang. Foto Facebook Fadhlina Sidek
GUA MUSANG, 23 Apr – Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan sepenuhnya siasatan insiden seorang guru wanita yang cedera selepas dipukul rakan sekerja di sebuah sekolah rendah di Kemaman, Terengganu kelmarin kepada pihak polis.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyerahkan kes terbabit kepada pihak berwajib dan akur dengan segala keputusan.
“Kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berwajib dan kita akur dengan semua tindakan.
“KPM mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat punca pergaduhan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Bahan Enhancing Reading Through Digital Text (ERDT) Bawah Program Literasi Untuk Murid Orang Asli Dan Pribumi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, di sini hari ini.
Terdahulu media pada Selasa melaporkan, seorang guru lelaki yang disyaki menumbuk mata kiri rakan sekerja wanitanya sehingga lembam berjaya ditahan polis di rumahnya semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 46 tahun dicekup di kuartersnya pada pukul 9 malam.
Katanya, Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan perintah reman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

