Kaji Semula Prosedur Latihan, Sambutan Ulang Tahun Cabang Ketenteraan – Faizul Abd Ghani

Penggerak KEADILAN Johor, Faizul Abdul Ghani berkata ini penting bagi meneliti semua aspek penganjuran termasuk prosedur dan langkah pencegahan sebelum sesuatu latihan atau raptai sesuatu sambutan dilakukan.
SIMPANG RENGGAM, 23 Apr – Pihak berkuasa peringkat pusat digesa menubuhkan badan pemantau atau penilai bertauliah selain badan penyiasat yang lebih kepada menilai sesuatu tragedi bagi mengelakkan nahas melibatkan anggota keselamatan dielakkan di masa depan.
Menurut penggerak KEADILAN Johor, Faizul Abdul Ghani, ini penting bagi meneliti semua aspek penganjuran termasuk prosedur dan langkah pencegahan sebelum sesuatu latihan atau raptai sesuatu sambutan dilakukan.
“Seluruh negara terkejut dan berdukacita dengan tragedi yang mengorbankan 10 individu dalam insiden dua helikopter berlanggar dan terhempas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi ini.
“Saya menggesa pihak berkuasa menubuhkan badan pemantau atau penilai bagi mengawas sesuatu latihan atau raptai terutama melibatkan anggota keselamatan daripada menubuhkan badan penyiasat yang lebih menjurus kepada siasatan kepada tragedi yang telah berlaku semata-mata.

“Sudah sampai masanya sebuah institusi diwujudkan khusus bagi memantau dan meneliti segala aspek teknikal seperti kejuruteraan, aeroangkasa dan sebagainya bagi mengelakkan tragedi seumpama ini berulang,” ujarnya selepas menerima khabar duka hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penyelaras Harapan MADANI Johor turut mengucapkan takziah kepada kesemua 10 ahli keluarga mangsa nahas berkenaan dan berharap agar mereka redha dengan ketentuan Allah SWT.
Terdahulu media melaporkan 10 individu disahkan meninggal dunia dalam insiden dua helikopter bertembung dan terhempas pagi tadi.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut menerusi kenyataan memaklumkan insiden pada 9.32 pagi itu melibatkan 10 kru masing-masing tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.
“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman,” menurut kenyataan itu di Lumut, hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

TLDM juga mengharapkan orang ramai tidak menularkan video kejadian demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan.
Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan sebuah helikopter terlanggar bahagian belakang sebuah lagi helikopter sebelum kedua-dua pesawat berkenaan terjunam.
Difahamkan insiden berlaku semasa Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) TLDM ke-90 yang dijadualkan pada awal bulan depan.
Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Beliau berkata ketika kejadian helikopter sedang menjalani raptai sambutan sempena Hari Terbuka Armada TLDM yang dijangka berlangsung di pangkalan tersebut Mei ini.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
