Korea Selatan Bimbang Tindakan China Isu Pertindihan Zon Larangan Berlayar

China dikatakan menghalang kapal daripada memasuki beberapa bahagian Laut Kuning, yang terletak di antara tanah besar China dan Semenanjung Korea.
SEOUL, 25 Mei – Korea Selatan menyuarakan kebimbangan kepada China berhubung penetapan ‘zon larangan belayar’ di kawasan perairan bertindih di Laut Kuning, menurut Kementerian Luar negara itu.
Akhbar Amerika Syarikat (AS), Newsweek, melaporkan pada Rabu bahawa China menghalang kapal daripada memasuki beberapa bahagian Laut Kuning, yang terletak di antara tanah besar China dan Semenanjung Korea.
Menurut Newsweek, cawangan wilayah Pentadbiran Keselamatan Maritim China (MSA) mengisytiharkan zon larangan belayar itu di beberapa kawasan dalam Zon Langkah Sementara (PMZ).

China dan Korea Selatan sebelum ini berkongsi kawasan itu, di mana zon ekonomi eksklusif kedua-dua negara bertindih, sehingga 27 Mei.
MSA tidak memberikan sebarang sebab, namun menurut Newsweek, media Korea Selatan melaporkan bahawa langkah itu bertujuan untuk ‘latihan ketenteraan’, memetik Agensi Hidrografi dan Oseanografi Korea.
Kementerian Luar Seoul berkata, kedua-dua negara dibenarkan menjalankan latihan ketenteraan di zon berkongsi itu.
Namun, penetapan ‘zon larangan belayar’ oleh China dalam PMZ yang secara berlebihan menyekat kebebasan pelayaran menimbulkan kebimbangan.
“Sehubungan itu, Seoul sudah menyampaikan kebimbangan berkenaan kepada pihak China melalui saluran diplomatik”, katanya lagi.
Kementerian itu turut memaklumkan bahawa ia sedang bekerjasama dengan agensi lain, termasuk Kementerian Pertahanan, untuk menilai sama ada langkah terbaharu China itu selaras dengan undang-undang maritim antarabangsa.
Menurut Newsweek, Beijing juga sudah memasang tiga struktur yang didakwa sebagai ‘kemudahan akuakultur’.
Beberapa media Korea Selatan mendakwa tindakan itu dalam PMZ mungkin taktik ‘zon kelabu’ – iaitu langkah samar-samar yang bertujuan untuk mengembangkan bidang kuasa maritim China. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

