Korban Ukraine Terus Meningkat Angkara Pencerobohan Russia

Kawasan perkuburan di mana sebahagian besar mangsa pencerobohan dan serangan Russia di Groza, wilayah Kharkiv, Ukraine. Foto AFP
PARIS, 12 Feb – Puluhan ribu askar dan orang awam dikhuatiri terkorban dalam perang antara Ukraine-Russia yang sudah memasuki tahun kedua.
Bagaimanapun, jumlah sebenar korban adalah mustahil untuk diketahui, dengan kedua-dua pihak memberikan terlalu sedikit maklumat mengenai kehilangan nyawa untuk tidak menjejaskan semangat dalam kalangan tentera dan orang awam.
Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNHRC), pada pertengahan Januari lalu, mengesahkan kematian 10,382 orang awam di Ukraine dan 19,659 lagi cedera sejak pencerobohan, namun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.
Jumlah korban awam meningkat dengan ketara pada Disember 2023 dan Januari 2024 berbanding bulan sebelumnya.
Hampir 8,000 daripada kematian berlaku di wilayah dikuasai Ukraine dan lebih 2,000 di zon yang diduduki Russia.
Polis Ukraine merekodkan hampir 10,000 kematian orang awam, manakala 7,000 hilang dan 11,000 cedera di wilayah yang dikuasainya, menurut seorang pegawai pada 31 Januari lalu.

Pihak berkuasa Ukraine berkata ribuan orang awam terbunuh ketika pengepungan bandar Mariupol sebelum diambil alih oleh Russia.
Seorang pegawai dewan bandar memberitahu televisyen Ukraine pada Februari tahun lalu bahawa sekurang-kurangnya 25,000 orang awam dikebumikan di kubur besar di sana.
Di sempadan Russia, sekurang-kurangnya 138 orang awam terbunuh, menurut laman berita Russia.
Tentera di kedua-dua pihak merahsiakan angka korbannya kerana membabitkan sensitiviti mereka.
Angka rasmi terakhir bermula pada pertengahan 2022 dan ia perlu ditangani dengan berhati-hati kerana kesahihannya boleh dipertikaikan.
Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu berkata, seramai 5,937 askar negara itu terbunuh pada September 2022.
Menurut Kyiv, menjelang Ogos 2022, sebanyak 9,000 tentera Ukraine terbunuh.
Semua anggaran didapati daripada perkhidmatan perisikan asing.
Pada Ogos 2023, New York Times memetik Pegawai Amerika Syarikat (AS) yang memaklumkan kadar kematian tentera Ukraine adalah sekitar 70,000 mangsa manakala antara 100,000 hingga 120,000 cedera.
Laporan itu menyebut anggaran seramai 120,000 maut dan antara 170,000 hingga 180,000 cedera di pihak Russia.
Menteri Angkatan Bersenjata United Kingdom, James Heappey meletakkan kehilangan nyawa di Russia pada anggaran lebih daripada 350,000 mati dan cedera.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Parlimen pada pada 29 Januari lalu.
Pada 8 Februari lalu, tentera Ukraine menganggarkan ia membunuh atau mencederakan lebih daripada 392,000 tentera Russia sejak pencerobohan.
Kyiv tidak menyatakan sama ada jumlah itu termasuk kematian dalam kalangan pemisah pro-Russia di timur Ukraine dan askar upahan dari kumpulan separa tentera Wagner atau hanya tentera Russia. – AFP
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
