Korban Dua Taufan Di Filipina Ragut 250 Nyawa, Jutaan Terjejas

Penduduk mencari sisa-sisa barangan yang mungkin boleh digunakan semula susulan Taufan Kalmaegi melanda Talisay, Cebu, Filipina pada 9 November 2025. Foto Reuters
MANILA, 11 Nov – Angka korban akibat dua taufan yang melanda Filipina sejak minggu lalu meningkat kepada 250 orang, manakala jutaan lagi penduduk terjejas dan hilang tempat tinggal, lapor Xinhua hari ini.
Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Negara (NDRRMC) memaklumkan bahawa Taufan Kalmaegi yang melanda daratan pada 4 November, mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh di wilayah tengah negara itu, mengorbankan 232 nyawa serta menyebabkan 112 orang hilang.
Sebahagian besar kematian dilaporkan di wilayah Cebu, yang masih berusaha pulih daripada kesan gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter pada 30 September lalu, menurut NDRRMC.

Sementara itu, Pejabat Pertahanan Awam Filipina pada Selasa mendedahkan bahawa Taufan Fung-wong, yang melanda Pulau Luzon pada Ahad meragut sekurang-kurangnya 18 nyawa.
Kedua-dua taufan itu turut menyebabkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal serta memusnahkan kediaman, kawasan pertanian dan infrastruktur penting termasuk jalan raya dan jambatan, kata pegawai.
Fung-wong merupakan taufan ke-21 yang melanda Filipina tahun ini, melebihi purata tahunan negara itu iaitu 20 taufan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
