Koperal Mengaku Tak Bersalah Cederakan Tujuh Rakan

Sukry Tasu, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan di Mahkamah Majistret Bentong pada 6 April 2026.

BENTONG, 6 Apr – Seorang tentera berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tujuh pertuduhan mencederakan anggota lain, bulan lepas.

Sukry Tasu, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, di stor persenjataan Kompeni C, Kem Rejimen Askar Melayu Diraja Batalion ke-25 di Kem Bentong kira-kira jam 8.30 pagi pada 30 Mac 2026.

Sukry Tasu didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24 pada 30 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid mencadangkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak menghampiri atau menghubungi mangsa sehingga kes selesai.

Peguam bela, Mohamed Hafiz Baharudin memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya yang bekerja sebagai penjaga stor memperoleh pendapatan bersih bulanan RM1,800.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi pertuduhan pertama, mengenakan syarat tambahan tersebut dan menetapkan 18 Mei untuk serahan dokumen.

Bagi pertuduhan lain, Sukry didakwa mencederakan enam lagi mangsa iaitu Mohammad Atiqillah Taugek Rashidi, 21; Muhammad Syakirin Yaacob, 20; Muhammad Azman Shah Ismail, 22; Nik Amir Zaqwan Nik Asrizal, 19; Muhammad Irfan Aiman Mohd Tajudin, 19; dan Muhamad Danial Asraf Azizan, 22, di lokasi sama kira-kira jam 8.30 malam pada hari yang sama.

Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *