Kongres 2022 – KEADILAN Tetapkan Kerangka Rundingan, Kerjasama Politik

SHAH ALAM, 16 Jul -Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan menetapkan satu kerangka yang jelas kepada pemimpinnya yang akan mewakili parti untuk berunding dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti politik lain berkaitan kerjasama politik dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, ia bagi membolehkan suara akar umbi parti dan penyokong PH tidak diketepikan dalam merangka usaha ke arah itu, termasuk berkaitan dengan idea gagasan khemah besar.
“Kita faham peranan KEADILAN sebagai parti pembangkang utama untuk mencari jalan paling baik menggarap kekuatan pembangkang. Namun, ada dua pertimbangan tak boleh ditolak iaitu sentimen akar umbi KEADILAN dan penyokong PH di bawah.
“Kalau sentimen itu menterjemahkan mereka menolak khemah besar secara terang-terangan dan pimpinan tetap teruskan juga, maka kamu tidak boleh yakinkan ahli kita dan macam mana mahu yakinkan penyokong,” katanya ketika ditemui media pada Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, parti juga perlu memperhalusi setiap usaha untuk membawa parti atau kumpulan lain untuk bersama-sama dalam PH, sama ada ia memberi kesan yang positif ataupun sebaliknya.
“Kalau contohnya kita membawa pasukan parti lain dan jika ia membina kekuatan positif tidak mengapa, namun kalau negatif (maka) kita kena berhati-hati,” katanya.
Mengulas mengenai khemah besar, Rafizi berkata daripada keputusan pemilihan baik di peringkat tertinggi hingga Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita KEADILAN sebelum ini, nampak jelas bahawa sentimen yang menolak gagasan itu adalah kuat.
“Ia diterjemahkan di peringkat Timbalan Presiden, sayap AMK, Wanita dan kita lihat di Majlis Pimpinan Pusat (MPP) nanti,” katanya.
Menyentuh dakwaan kononnya Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim adalah liabiliti parti, Rafizi berkata, semua pihak perlu menerima realiti dan meletakkan parti sebagai keutamaan.
“Kalau saya menjadi Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya fikir untuk perlu terima penemuan fakta ini.
“Sebab dapatan ini kalau tidak dibuat apa-apa, ia akan diterjemah dalam keputusan pilihan raya. Dapatan faktanya adalah semakin hilang populariti.
“Apa yang penting untuk parti dan kepimpinan baharu bukanlah untuk cuba membodek Anwar. Anwar adalah Anwar Ibrahim, dia tidak perlu dibela. Apa yang perlu dilakukan ialah menarik keyakinan rakyat, cuba menang (pilihan raya),” katanya.
