Konflik Thailand-Kemboja: Ini Penjelasan PM Anwar

Tanggapan pelbagai pihak terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani konflik Thailand-Kemboja dijawab dengan jelas dalam keadaan menangani setiap tindakan secara berhati-hati dengan penuh hikmah dan bijaksana. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PENDAPAT, 31 Dis – Penjelasan panjang lebar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung konflik antara Thailand dan Kemboja, sebenarnya menangkis naratif sesetengah pihak yang selama ini meragui usaha berkenaan dan tidak mengetahui fakta sebenar berhubung usaha yang dilaksanakan berhubung perkara terbabit.

Dalam sidang media khas yang diadakan di Putrajaya semalam, Anwar menegaskan, sebarang dakwaan bahawa Malaysia bersikap berat sebelah dalam konflik dua negara berjiran itu hanyalah persepsi kecil.

Ini kerana selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mengambil peranan sebagai pengantara penting dalam merungkai isu berhubung pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer itu.

Perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja dimeterai pada 12 tengah hari 27 Disember 2025. Foto AFP

“Saya memantau perkara itu dengan sangat teliti. Mereka tidak mengetahui banyak fakta atau maklumat dan saya secara konsisten mengambil pendekatan yang sangat berhati-hati lagi berwaspada dengan membincangkannya bersama Perdana Menteri Thailand, Anutin (Charnvirakul) dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.

“Panglima Angkatan Tentera kita juga sudah menghubungi kedua-dua pihak, begitu juga dengan menteri luar kita,” katanya.

Malah, peranan Malaysia adalah untuk membantu memudah cara gencatan senjata serta memastikan ketegangan antara Thailand dan Kemboja dihentikan serta membawa mereka ke meja rundingan, sama seperti yang dilakukan ketika pertemuan pertama di Putrajaya pada 28 Julai lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja yang berkuat kuasa mulai jam 12 tengah hari 27 Disember 2025. Foto PMO

“Keputusan itu sepenuhnya terpulang kepada pihak Thailand dan Kemboja. Kami tidak membuat keputusan. Kritikan (terhadap Malaysia) itu berasaskan kejahilan dan prasangka semata-mata.

“Sebarang keputusan, termasuk mesyuarat sempadan yang diselaraskan oleh menteri-menteri luar, adalah selaras dengan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Peace Accord) dan dibuat dengan penyertaan serta persetujuan penuh kedua-dua negara,” katanya.

Untuk rekod, Amerika Syarikat (AS) dan China juga merupakan antara negara yang bertindak menjadi pendamai termasuk kehadiran Menteri Luar China, Wang Yi sebagai orang tengah yang membawa kedua-dua pihak kembali merundingkan perdamaian.

Usaha Menteri Luar China, Wang Yi menjadi hos pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn (left) dan Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow di Yunnan, memberi petunjuk positif usaha perdamaian sedang dirintis pada 29 Disember 2025. Foto AFP

Prinsip asas keamanan menjadi elemen penting dalam memastikan gencatan senjata yang berkuat kuasa mulai 27 Disember lalu boleh dilanjutkan dengan perdamaian termasuk membincangkan isu garisan sempadan secara berfasa tanpa perlu menumpahkan darah rakyat kedua-dua negara yang tidak berdosa.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *