Konflik Asia Barat: Semakan Unjuran, Pertumbuhan Perlu Jika Krisis Berterusan – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis Sesi Ramah Mesra bersama Warga dan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Kangsar pada 4 April 2026. Foto PMO
KUALA KANGSAR, 4 Apr – Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan kajian dan penilaian semula perlu dilakukan, antaranya terhadap kadar pertumbuhan Malaysia dan projek besar negara sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menegaskan, ia kerana krisis tenaga dunia mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan ekonomi negara.

“Unjuran pertumbuhan kita, projek-projek besar, semuanya harus dikaji semula (jika krisis berlarutan). Doakan mudah-mudahan kita dapat selesaikan masalah ini.
“Setakat ini kita masih bertahan,” katanya ketika berucap pada majlis sesi ramah mesra bersama warga dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, di sini hari ini.

Anwar menjelaskan, beliau dibantu Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan bekas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
“Menteri-menteri semua juga terpaksa bertungkus lumus betulkan keadaan,” katanya menambah krisis ekonomi yang membelenggu bukan satu ciptaan.

Namun, tegas Anwar, ada sebilangan pemimpin pembangkang disifatkannya ‘menjerit’ mengecam kerajaan disebabkan krisis berkenaan.
“Laporan terakhir oleh Bank Negara Malaysia bulan lalu menyatakan prestasi ekonomi kita meningkat lebih baik daripada yang kita unjurkan, dari segi pertumbuhan, pelaburan dan inflasi.

“Semua jauh lebih baik daripada yang diunjurkan. Sekonyong-konyong tiba peperangan akibat serangan Zionis Israel yang zalim ke atas negara Islam, Iran yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS).
“Seluruh dunia digemparkan dengan krisis, bukan saja krisis minyak dan gas, malah krisis ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia mempunyai imej yang baik, antaranya kerana mengamalkan dasar bebas diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Negara Arab seperti Iraq, selain Turkiye, Australia dan New Zealand serta negara ASEAN, semua menghubungi Malaysia sebagai perantara dengan Iran.

“Menteri Luar Iran dan presidennya sendiri bercakap (dengan Malaysia) kerana kita negara bebas. Sesetengah negara tak berani bercakap dengan Iran walaupun negara itu merdeka dan berdaulat.
“Sesetengah negara hendak kutuk serangan biadap Israel terhadap Iran pun tidak mampu, tapi kita Alhamdulillah,” tambah Perdana Menteri.

Katanya, ketika beliau membawa usul mengutuk serangan Israel di Parlimen, ia diluluskan sebulat suara.
“Ini petanda negara merdeka dan berdaulat. Apa erti merdeka kalau kita masih tunduk kepada kuasa besar?” kata Anwar.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
