Konflik Asia Barat: Premier Sarawak Puji PM Anwar Main Peranan Diplomatik

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Peringkat Sarawak di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Kuching pada 13 Mac 2026. Foto PMO
KUCHING, 13 Mac – Premier Sarawak memuji kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memainkan peranan diplomatik beliau secara aktif bagi meredakan ketegangan di Asia Barat diyakini mampu memberi impak besar kepada kestabilan politik dan ekonomi dunia.
Menurut Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Anwar kini dilihat giat berhubung dengan pemimpin negara Islam bagi mencari jalan menyelesaikan konflik yang sedang memuncak di rantau berkenaan.

“Disebabkan oleh apa yang berlaku di Asia Barat hari ini, beliau (Anwar) dihubungi pemimpin-pemimpin Islam untuk mencari jalan bagaimana menyesuaikan masalah yang sangat penting ini, yang mempunyai akibat kepada ekonomi dunia, lebih-lebih lagi ekonomi di rantau kita.
“Kita doakan, moga-moga Perdana Menteri dapat memberikan semangat dan idea untuk menenangkan keadaan yang ada,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Tahun 2026 Peringkat Sarawak di Masjid Jamek Negeri di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Anwar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud serta anggota Kabinet Negeri.
Minggu lalu, Anwar mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon dengan beberapa pemimpin Asia Barat antaranya Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perdana Menteri Bahrain, Perdana Menteri Pakistan dan Menteri Luar Iran bagi bertukar pandangan serta langkah menangani krisis di rantau berkenaan.

Abang Johari berkata usaha Perdana Menteri penting bagi menenangkan keadaan geopolitik dunia selain memastikan kestabilan yang memberi manfaat kepada masyarakat antarabangsa.

Premier Sarawak menegaskan keupayaan Anwar melaksanakan peranan itu turut disokong oleh kestabilan politik serta perpaduan rakyat di dalam negara.

“Kalau negara kita kucar-kacir, mungkin Yang Amat Berhormat (Perdana Menteri) terpaksa menumpukan kepada keadaan dalam negara yang tidak membantu masyarakat kita di luar sana,” katanya.
Beliau berkata ketika ini, Malaysia berada dalam keadaan aman dengan ekonomi yang semakin baik, selain menyaksikan peningkatan nilai mata wang serta kemasukan pelaburan asing.

Sarawak, katanya turut menerima manfaat daripada perkembangan positif itu apabila semakin ramai duta dan pelabur luar datang untuk meneroka peluang pelaburan di negeri berkenaan.
“Akhirnya yang mendapat manfaat ialah seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum dan berbeza kepercayaan. Inilah semangat ‘segulai sejalai’ Malaysia yang ada pada negara kita,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
