Klopp Berang Pengadil Final Piala Liga Kurang Tegas

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp (tengah) memeriksa keadaan pemainnya, Ryan Gravenberch yang diusung keluar ketika final Piala Liga menentang Chelsea di Wembley, London malam tadi. Foto Reuters

LONDON, 26 FebPengendali Liverpool, Jurgen Klopp mendakwa pengadil Chris Kavanagh tidak mengadili perlawanan dengan baik ketika aksi final Piala Liga menentang Chelsea.

The Reds muncul juara buat kali ke-10 hasil tandukan Virgil van Dijk dalam masa tambahan pada aksi di Wembley malam tadi.

Di sebalik kejayaan itu, Klopp tetap tidak berpuas hati kerana merasakan beberapa keputusan pengadil, termasuk terjahan Moises Caicedo ke atas Ryan Gravenberch, tidak menyebelahi pasukannya.

“Ada dua pasukan yang bersaing sengit dan pengadil tidak berada pada tahap sepatutnya, itu hakikatnya. Saya minta maaf, saya tahu ia akan menjadi isu tetapi kenapa ia bukan satu kekasaran? Dia langsung tidak meniup wisel untuk kekasaran.

“Kemudian pegawai perlawanan menjelaskan kepada saya mengapa mereka tidak memberikan kad. Bagi saya situasi itu jelas sekali.

“Doktor datang kepada saya dan melihat bekas tapak kasut di atas buku lali – itu bukti jelas untuk kad,” kata Klopp.

Caicedo mengasari Gravenberch di pertengahan babak pertama tetapi terlepas tanpa sebarang kad.

Klopp yang berada di tepi padang tampak berang dan terpaksa ditenangkan oleh pembantunya, Pep Ljinders.

Gravenberch terpaksa diusung keluar dan menyertai senarai panjang kecederaan skuad Liverpool yang turut membabitkan Mohamed Salah dan Trent Alexander-Arnold serta penjaga gol utama Alisson Becker.

Berkenaan pemain tengah Belanda itu Klopp berkata: “Saya harap ia tidak seteruk mana, mereka melakukan imbasan dan tiada yang patah, hanya ligamen.” – AGENSI


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *